Tuesday 17 September 2013

FYI, Dia Tunang Saya 4

Bab 4
Abang Luqman, dah lama tak jumpa,” ujar Ain Fazira, menyembunyikan rasa gemuruhnya dengan senyuman. Dia mengagahkan matanya untuk memandang lelaki yang amat dikenalinya. Luqman sudah banyak berubah. Selain berkaca mata dan berpenampilan sesuai dengan profesionnya sebagai seorang peguam, pandangan lelaki itu kelihatan dingin dan serius.
            “Emm,” pendek sahaja jawapan Luqman, membuatkan Ain Fazira berasa semakin gemuruh. Dia sendiri tidak tahu betapa deras jantungnya berdegup saat ini. Dia tidak sangka yang dia akan bertemu dengan Luqman secepat ini dan di tempat ini, di hadapan kuburan Ana Syakila.
            “Faz hari ni kita akan lunch dengan Luqman. Papa nak Faz naik kereta papa. Kita boleh berbual dalam perjalanan ke restoran.” Ujar Dato’ Farid Badrul dengan mesra, berlawanan sekali dengan suasana persekitaran mereka yang sedingin salju.
            Ain Fazira terkejut mendengar permintaan ayah angkatnya yang di luar dugaannya. Dia tidak tahu untuk berkata apa-apa. “Ttaapi, kereta saya...”
            “Driver papa kan ada. Biar dia bawa kereta Faz dan ikut kita pergi restoran tu. Kereta papa, Luqman boleh bawa.”
Mahu tidak mahu, Ain Fazira terpaksa juga mengikut kehendak ayah angkatnya itu. Keadaan menjadi semakin kekok kerana dia disuruh duduk di bahagian hadapan. Matanya hanya tertumpu kepada jalan raya bertar sahaja. Yang lebih teruk, mulutnya seakan terkunci.

Sunday 8 September 2013

Cerpen: Loket Janji


Dia terbaring lemah katil berwarna putih suci itu dengan berbantukan alat pernafasan. Di  sebalik wajahnya yang semakin dimamah usia, tergambar sesuatu dari sorotan anak matanya yang berwarna coklat kehitaman. Sesuatu yang digelar penantian. Matanya tidak lekang dari memandang pintu bilik tanpa jemu.
            Namun, hatinya mula hilang kesabaran. Entah mengapa detik waktu berlalu dengan perlahan. Sedari pagi lagi dia menunggu tetapi apa yang diharapkan tidak juga muncul.
            ‘Sabarlah, sabarkan separuh dari iman,’ hatinya memujuk.
            Dia akur dengan pujukan hatinya. Selama dia terlantar di bilik wad yang sunyi itu, acap kali dia berbicara dengan hatinya kerana kebosanan tanpa peneman. Fizikalnya yang lemah membataskan komunikasinya dan dia lebih senang mengannguk atau mengeleng sebagai jawapan kepada soalan yang diajukan kepadanya.
            Dia melepaskan keluhan yang lemah. Matanya beralih ke lampu siling yang berwarna putih. Pandangannya menjadi kabur dek sinaran lampu itu yang terang. Entah mengapa dia seakan merasakan cahaya lampu itu menyamai mentari yang mengaburi pandangannya lma puluh tahun dulu. Pada waktu itulah berlaku perpisahan yang kemudian menjadi penantiaan yang panjang...

***