Tuesday 18 March 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 11

Bab 11

Rimbunan lavender yang terbentang luas ibarat permaidani indah dilihat dengan penuh rasa takjub. Kalaulah dapat diukur darjah kegembiraannya, pasti akan melepasi garisan maksimum! Akhirnya tercapai juga niatnya untuk menjejakkan kaki ke padang lavender yang terletak di Nice, Perancis.
            Tubuhnya berpusing perlahan dengan matanya yang tertutup rapat. Haruman lavender yang menenangkan menusuk ke hidungnya. Haruman tersebut seakan menghilangkan segala masalah yang melandanya selama ini.
SNAP!
            Dengan tidak semena-mena, dia menangkap bunyi kamera mengambil gambar berdekatan dengannya. Lantas matanya terbuka luas. Wajah seorang lelaki yang berkot labuh berwarna hitam memakai mafela biru ditatap dengan raut wajah masam mencuka. Bukannya lelaki itu tidak mengetahui bahawa dia tidak suka gambarnya diambil.
            “Abang Fikri..!” Ujar Ain Fazira, geram melihat senyuman nakal lelaki itu.
            “Sorry, tapi Faz nampak cantik sangat. Macam pari-pari bunga…” Balas Amir Fikri sambil mengenyit matanya. Ain Fazira mengeluh perlahan, terpaksa mengalah dengan perangai nakal lelaki itu. Mereka kemudian berbalas senyuman seolah-olah dunia hanya dimiliki mereka berdua sahaja.

“Cik Fazira?”
            Ain Fazira tersedar dari lamunannya. Fikirannya terbejat seketika. Dia melihat wajah-wajah orang bawahannya yang memakai kot putih sepertinya memandangnya dengan wajah yang penuh penantian.
            Baru wanita itu teringat bahawa dia dan orang-orang bawahannya sedang bermesyuarat tentang produk minyak wangi yang akan dihasilkan sempena Hari Ibu yang akan menjelang tiga bulan dari sekarang. Penghasilan minyak wangi tersebut diharap dapat menaikkan kembali jenama KZ Perfumes yang kini kurang diminati oleh pengguna.
            “Cik Fazira, apa pendapat cik tentang sampel-sampel yang kami hasilkan ni?” Soalan yang diutarakan oleh Jenny, pembantunya yang berbangsa Cina membuatkan dia menatap kembali beberapa keping ‘perfume test strips’ yang dipegang sedari tadi.