Wednesday 20 August 2014

FYI, Dia Tunang Saya! Special: Penangan Ketam Bunga!

FYI, Dia Tunang Saya! Special: Penangan Ketam Bunga!

Tempat Kejadian: Restoran Makanan Laut Segar
Latar Masa: Dalam tempoh Faz dan Syakir bertunang...

Senyuman yang sedari tadi tidak lekang di bibir Ain Fazira hilang serta-merta. Matanya sedikit terbeliak apabila melihat satu susuk tubuh yang amat dikenalinya beserta dengan 'segerombolan' manusia di belakangnya. Tanpa sengaja, wanita muda itu mengeluh perlahan. Dia sudah dapat membayangkan kekecohan yang akan berlaku dengan kehadiran tetamu-tetamu yang 'tidak diundang' itu.

"Eh, Cik Faz!! Encik Luqman pun ada!" Salah seorang daripada pekerja bahagian Pemasaran dan Jualan KZ Perfumes yang agak kepoh menyapa Ain Fazira dengan suara yang nyaring sehingga menarik perhatian pelanggan yang sedang menjamu selera di restoran tersebut. Tajam sekali mata pekerja wanita itu sehingga dapat menangkap wajahnya yang duduk di meja yang agak tersorok di penjuru restoran tersebut.

"Kak Ros!" Sapa Ain Fazira, berpura-pura terkejut. "Wah, semua orang dari P&J(pemasaran dan jualan) pun ada! 'Kecil' betul dunia ni kan." Ujarnya sambil memandang tajam ke arah Amirul Syakir yang buat muka sepuluh sen.

"Awak, sini kejap." Lemah-lembut wanita itu mengajak Amirul Syakir keluar dari restoran tersebut. Amirul Syakir yang mengikut dari belakang bersedia untuk menerima bahana daripada perbuatannya itu.

Sebaik sahaja pasangan tunang itu keluar dari restoran tersebut, perangai Ain Fazira berubah 360 darjah. "Apa yang awak buat dekat sini, hah? Siap bawa anak-anak buah awak pula tu!" Tiada lagi kelembutan pada nada suaranya melainkan kemarahan yang membuak-buak.