Showing posts with label bab 1. Show all posts
Showing posts with label bab 1. Show all posts

Tuesday, 24 November 2015

WANTED: My Runaway Bride Bab 1

BAB 1

"APA dia? Si Kamal tu tertidur lagi?!"

Satu jeritan kedengaran dari rumah teres dua tingkat yang menjadi markas operasi dan pembuatan kek cawan jenama Cik Cupcake. Qistina mengetap bibirnya, seakan tidak dapat mempercayai yang dia terpaksa menghadapi perkara yang sama. Liya berdiri menikus, takut untuk menyampuk kerana bimbang akan menaikkan lagi api kemarahan majikannya itu.

"Budak bertuah! Kan akak dah beritahu yang kita ada banyak delivery nak kena buat hari ni?" marah Qistina lagi. Kalau bukan mengenangkan yang Kamal itu adik sepupunya, sudah lama dia berhentikan lelaki itu. Sudah banyak kali Kamal diperingatkan agar datang tepat pada masanya tetapi lelaki itu tetap bersikap cuai dan malas.

"Habis tu macam mana, Kak Qis?" soal Liya.

Qistina terdiam sebentar sebelum melepaskan keluhan yang panjang. "Macam mana lagi? Terpaksalah akak jadi pemandu van hari ni. Liya tunggu apa lagi? Cepatlah bawa masuk cupcake kita ke dalam van. Kita sepatutnya kena hantar pesanan yang pertama pukul sepuluh pagi. Sekarang ni pukul sembilan dah."


Saturday, 18 May 2013

Fyi, Dia Tunang Saya Bab 1


Bab 1
4 minggu yang lalu...

Wow, boleh tahan juga lapangan terbang dekat Malaysia ni!” Pengakuan Sophie yang lantang membuatkan Ain Fazira sekadar mengelengkan kepalanya. Inilah bahananya membawa rakan baiknya yang ‘hiperaktif’ seperti kanak-kanak Ribena itu pulang bersama-sama ke Malaysia.

            Ain Fazira memandang Sophie yang teruja dengan suasana di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Rakan baiknya itu seronok sekali kerana pertama kali menjejakkan kaki ke tanah air bapa kandungnya. Mungkin tiada sesiapa yang menjangka wanita yang berambut perang, berkulit putih, berhidung mancung serta bertubuh tinggi lampai itu memiliki darah kacukan Melayu-Inggeris.

‘Dia ni kalau aku cakap ‘jakun’, dia faham tak maksudnya?’

            “I could not wait to visit KLCC Twin Tower! Faz, you jangan cakap yang you dah terus kena masuk kerja pula. Seminggu ini you kena teman I jalan-jalan, faham!” Sophie menudingkan jarinya tepat ke hidung Ain Fazira yang sedang mengelamun sambil memberikan amaran.

            “Yes, mem,” ujar Ain Fazira yang malas mahu bertekak dengan rakan baiknya itu. Dia sebenarnya juga berura-ura untuk berehat selama seminggu sebelum memulakan kerja barunya. Dia ingin mengambil kesempatan untuk melepaskan rindu pada tanah airnya yang sudah hampir tujuh tahun ditinggalkan.

            Jawapan Ain Fazira membuatkan Sophie tersenyum puas. Gandingan dua orang wanita itu kelihatan seperti langit dan bumi. Ain Fazira lebih selesa berpakaian blaus kot berwarna gelap dipadankan dengan seluar slack yang kelihatan agak formal. Manakala rakan baiknya itu memakai sundress berwarna jingga dipadankan dengan cardigan kuning dan skinny jeans berwarna hitam persis seorang remaja. Padahal umur Sophie lebih tua tujuh tahun daripada Ain Fazira yang baru berusia dua puluh lima tahun.

            Mama Ann selalu berkata mungkin disebabkan perbezaan perwatakan antara mereka membuatkan mereka saling melengkapi dan serasi bersama. Kelemahan Ain Fazira adalah kekuatan Sophie dan begitu juga sebaliknya. Selama tujuh tahun tinggal di perantauan, tiga tahun di Paris untuk melanjutkan pelajaran dan empat tahun bekerja di London, keluarga Sophie telah banyak membantunya dan menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri. Oleh itu, dia sangat menghargai persahabatannya dengan Sophie walaupun wanita itu perangai agak ‘kegila-gilaan’.

“Kurang ajar!!!” Jeritan berserta bunyi barang jatuh dan pecah mengejutkan Ain Fazira dan Sophie yang asyik berbuat sementara menunggu orang untuk mengambil mereka pulang.