Showing posts with label bab 12. Show all posts
Showing posts with label bab 12. Show all posts

Friday, 2 May 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 12

Bab 12

“Kalau saya terpaksa memilih antara abang dengan papa...saya, akan pilih papa!”
             Mata Amir Fikri terbeliak mendengar jawapan yang terkeluar daripada mulut bekas tunangnya itu. Tubuhnya terasa seperti terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi. Lelaki itu terasa seperti dia berada di dalam sebuah mimpi yang buruk.
            Sekali lagi dia memandang wanita yang merupakan insan pertama yang berjaya mengetuk pintu hatinya itu. Jika dulu ketegasan dan kematangan wanita muda yang berusia dua puluh dua tahun itu memikat hatinya tetapi kini dia terasa seperti dikhianati oleh satu-satunya wanita yang dia sayangi.
            Apabila dia terdengar perbualan antara Datuk Farid Badrul dan Datin Melisa akan pertemuan ayahnya itu dengan kekasih hatinya di Rantaian Kaseh, dia terus ke rumah anak yatim itu untuk bertemu dengan wanita itu. Menurut kiraannya, kepulangan Ain Fazira ke Malaysia adalah untuk memujuknya agar membatalkan perkahwinannya dengan Shirin yang akan berlangsung hari ini. Alih-alih, wanita itu tega menyuruhnya kembali ke rumah dan meneruskan perkahwinannya.
            Alasan yang diberikan wanita itu mudah, tidak mahu dia menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak menyangka yang wanita itu tidak mengerti bahawa dia juga merupakan mangsa keadaan. Bahawa dia teraniaya walaupun dia tidak tahu siapa yang menjeratnya dengan Shirin ke hotel sehingga mereka ditemui dalam keadaan tanpa seurat benang.
            Malah kesanggupannya untuk meninggalkan kedudukan dan jawatannya sebagai CEO KZ Perfumes dipandang sepi oleh wanita itu. Seolah-olah pengorbannya tidak ada sebarang makna pada wanita itu.
            “Jadi demi papa, Faz sanggup tengok abang kahwin dengan orang lain? Faz sanggup biarkan abang dicemuh orang sebab kahwin dengan kekasih adik abang sendiri?”
            “Kenapa tidak?” Balas Ain Fazira dengan menunjukkan raut wajah bersahaja. “Sebab saya bertunang dengan abang dulu pun, sebab papa...”
           
“Abang,”
            Panggilan Shirin menarik Amir Fikri semula ke alam nyata. Dia memandang persekitarannya yang dipenuhi oleh orang ramai yang berbusana indah dan moden. Alunan muzik klasik mengembalikan ingatannya bahawa dia berada di majlis hari jadi Datuk Farid Badrul yang ke-60.