Bab 5
Ain
Fazira menghenyakkan tubuhnya ke kerusi. Senyuman di bibirnya mengendur
serta-merta selepas Dato’ Farid Badrul keluar dari bilik pejabatnya.
“Kenapa dalam ramai-ramai orang,
orang yang selamatkan aku adalah abang Syakir?” Getus hatinya.
Ain Fazira memegang kepalanya yang
sedang kusut. Dia teringat kembali renungan tajam Amirul Syakir sewaktu di
bilik mesyuarat tadi. Pasti lelaki itu menyangka dia telah menipu lelaki itu.
Tiba-tiba Amirul Syakir muncul di
hadapan pintu bilik tanpa sebarang amaran. Ain Fazira memandang lelaki itu
tanpa sebarang kata. Lelaki itu merenungnya seperti ingin ditelannya
hidup-hidup.
“Ikut
saya sekarang.” Ujar Amirul Syakir yang kedengaran seperti satu arahan yang
wajib dipatuhi.
Ain Fazira menurut sahaja tanpa
sebarang bicara. Risau akan berlaku kekecohan jika dia membantah.
Amirul Syakir membawa Ain Fazira ke
bahagian bumbung bangunan tersebut yang dijadikan taman untuk pekerja KZ
Perfumes berehat pada waktu senggang. Amirul Syakir berdiri di hadapan beranda
bumbung tersebut lalu melonggarkan ikatan tali lehernya. Dia menarik nafas
panjang sebelum berpaling ke arah Ain Fazira.
