BAB
14
"APA
semua ni? Sandiwara apa yang papa cuba mainkan ni?" soal Syakir di hadapan
seluruh ahli keluarganya. Dia berusaha untuk menahan amarahnya agar tidak
kedengaran biadap.
Sebaik sahaja majlis hari jadi itu
berakhir, Dato' Farid telah menyuruh semua ahli keluarganya berkumpul di rumah
agam keluarga mereka untuk menjelaskan tentang keputusannya. Lelaki berusia
pertengahan umur itu tenang sahaja menghadapi kemarahan Syakir. Syafiq dan Nazira
diarahkan oleh Datin Melisa untuk masuk ke dalam bilik tetapi dalam diam-diam
mereka mencuri-curi dengar dari balkoni atas. Fikri sekadar tersenyum sinis
memikirkan keputusan ayahnya yang tidak masuk akal manakala Shirin sekadar
menjadi pemerhati.
"Dah puas dah?" soal Dato'
Farid. "Atau ada lagi yang Kier rasa tak puas hati?" Persoalan lelaki
pertengahan umur itu dibiarkan tidak berjawab.
"Faz, kenapa senyap saja? Faz
tak rasa pelik dengan keputusan papa?" soal Dato' Farid kepada Fazira yang
membisu sedari tadi. Semua mata memandang wanita muda itu, ingin mengetahui
jawapan wanita itu.
Fazira menarik nafas panjang. "Faz
cuma akan tanya satu soalan sahaja, kenapa? Apa sebab papa nak kami bertunang
sampai papa sanggup menipu Faz dengan Abang Kier untuk balik ke rumah?" soalnya
dengan nada yang tenang. Walaupun pada mulanya dia juga ingin menghamburkan
rasa tidak puas hatinya seperti Syakir tetapi dia memilih untuk berfikir secara
rasional.
"Hah, itulah soalan yang papa
nak dengar!" ujar Dato' Farid dengan wajah yang ceria. "Kalau Kier tanya soalan tu dari
tadi kan senang? Tak payahlah papa nak dengar segala bebelan Kier," ujarnya
lagi yang mengundang rasa geram di hati Syakir. Ayahnya itu sering sahaja
membandingkan dirinya yang cepat marah dengan Fazira yang sentiasa tenang dan
rasional.
Dato' Farid memandang ke arah Datin
Melisa. Datin Melisa menggangguk perlahan lalu membuka sebuah kotak kayu
sepanjang dua tapak tangan yang sedari tadi dipegangnya. Sepucuk surat yang sudah kuning warnanya
dikeluarkan lalu diberikan kepada Dato' Farid.
"Surat?" Syakir
mengerutkan keningnya. Dia menghulurkan tangannya untuk mengambil surat itu.
Namun Dato' Farid memberikan surat itu kepada Fazira.
"Kenapa papa bagi dekat Faz?
Patutnya bagi di Kierlah!" rengek Syakir seperti anak kecil. Tanpa
mempedulikan lelaki itu Fazira membaca isi kandungan surat tersebut. Wajahnya
berubah serta-merta membuatkan semua orang tertanya-tanya akan isi kandungan
surat itu.
"Papa, betul ke apa yang
tertulis di dalam wasiat ni?" soal wanita itu dengan nada suara tidak
percaya.
"Wasiat? Wasiat siapa?" soal
Syakir yang tidak mengetahui apa-apa.
"Betul. Sekarang ni Faz faham
kan kenapa papa buat semua ni?" Dato' Farid memandang Fazira tanpa
mempedulikan keadaan Syakir yang tidak mengerti apa-apa.
"Apa semua ni?" Bentak Syakir,
tidak mampu menahan sabarnya. "Bagilah surat wasiat tu!" Ujarnya
sebelum merampas surat tersebut daripada Fazira. Sebaik sahaja dia membaca
surat itu, wajahnya turut berubah seperti Fazira. Seluruh alam terasa seperti
sedang berputar laju. Dia memandang ke arah Dato' Farid dengan wajah penuh
tanda tanda.
"Kenapa?" Soalnya. "Kenapa
arwah Kak Sya nak Kier kahwin dengan Faz?"
"Papa... janji dengan Sya...
yang papa mesti tunaikan permintaan Sya ni... tak kira apa pun terjadi...janji
dengan Sya..."
"PAPA
janji Sya. Papa janji... Sya!" Dato' Farid tersedar dari mimpinya. Peluh
mencurah-curah keluar dari dahinya yang berkedut itu. Dia memegang dada kirinya
dan berusaha untuk menenangkan diri.
Lelaki itu kemudiannya bersandar
kembali ke kerusi. Dia mengingati kembali mimpi yang dialaminya tadi. Sudah
beberapa kali arwah Syakila mendatangi mimpinya tetapi kali ini mimpi itu
sangat jelas seakan memberikan petanda bahawa dia mesti menunaikan janjinya
terhadap anak sulungnya sebelum arwah meninggal.
Kepalanya kemudian berpaling ke arah
meja bacaannya. Di atas meja itu terdapat tiga buah bingkai gambar hitam yang
bercantum. Dia mengamati gambar yang terdapat pada ketiga-tiga bingkai gambar
itu.
Gambar pertama merupakan gambar keluarga
yang diambil sewaktu Hari Raya Aidilfitri ketika arwah Syakila menjangkau usia
dua puluh tahun. Kelihatan wajah arwah yang ceria sambil memeluk erat Fikri dan
Syakir yang masing-masing berusia tujuh belas dan lima belas tahun. Nazira dan Syafiq
yang baru lapan tahun pula duduk di sisinya dan isterinya. Pada ketika itu, dia
berasa sangat bahagia dengan keluarganya. Dia tidak pernah menyangka tiga tahun
kemudian, anak perempuannya itu akan pergi meninggalkannya.
Gambar yang kedua pula adalah gambar
keluarga yang diambil lebih kurang tujuh tahun yang lalu sebelum Fazira melanjutkan pelajaran ke
Perancis. Dia teringat betapa dia berasa bangga apabila mengetahui anak
angkatnya terpilih untuk mengikuti kursus perfumery
di sebuah institut minyak wangi terkemuka di Grasse, Perancis, yang juga
merupakan tempat di mana dia belajar dahulu. Kehadiran Fazira sedikit-sebanyak
mengubat kerinduaannya terhadap anak sulungnya. Walaupun gadis itu tidak
semanja dan selembut arwah Syakila, namun kematangan gadis itu menenangkan
fikiran dan hatinya. Adakalanya dia berasa kagum dengan pengalaman hidup yang
wanita itu pernah lalui sedari kecil.
'Sedangkan aku selama ini hidup
tanpa memikirkan tentang perasaan orang lain...' bisik hati kecilnya yang
rawan. Kali ini dia cuba untuk mencapai bingkai gambar yang ketiga dengan niat
untuk menyentuh bingkai gambar tersebut. Salji menghiasi latar belakang gambar
di mana terdapat dua orang anak perempuan ketawa girang sambil membuat orang
salji. Belum sempat untuk dia menatap gambar itu dengan lebih jelas, pintu
bilik bacaannya diketuk.
Tidak lama kemudian, Datin Melisa
muncul membawa dulang berisi jag air, secawan gelas kaca dan beberapa botol
ubat-ubatan. Tanpa sebarang kata, isterinya itu meletakkan dulang ke atas meja
bacaan lalu menghulurkan gelas berisi air dan pembuka botol ubat dengan
beberapa biji pil yang berlainan warna dan bentuk.
"Pahit..." rungut lelaki
itu. Kemudian Datin Melisa menghulurkan gula-gula perisa strawberi kepada
suaminya dengan wajah yang masam. "Macam budak-budak," rungut wanita
tua itu pula. Senyuman tua terukir di bibir mereka yang sarat dengan pelbagai
perasaan.
"Syakir dari semalam lagi tak
balik. Risau pula saya kalau dia lari ke Muar lagi," ujar Dato' Farid
dengan hati yang gundah.
"Abang janganlah risau. Kalau
betul pun dia nak balik ke Muar, dia mesti akan jumpa dengan kita dulu. Sekarang
ni dia mesti ada di 'situ'," ujar Datin Melisa yang lebih memahami
perangai anak lelakinya.
LANGKAH
Syakir terhenti di sebuah kubur bermarmar putih. Dia duduk bersila di hadapan
kubur tersebut. Batu nisan yang terpahat nama 'Ain Syakila Bt. Farid Barul'
diamati lalu diusap dengan rasa rindu yang mendalam. Kemudian, bibirnya mula
membaca surah yasin yang telah berjaya dihafaz hasil pengajiannya di kampung di
Muar.
Usai
sahaja membaca surah yasin dan doa kepada arwah kakaknya, dia menyiram kubur
tersebut dengan air mawar. Haruman bau semerbak menusuk ke hidungnya. Lelaki
itu kekal di situ, tanpa berkata apa-apa. Segala kenangannya bersama dengan
arwah kakaknya berpusu-pusu datang ke ruang ingatannya.
Arwah
Syakila merupakan ahli keluarga yang paling rapat dengannya. Arwah kakaknya itu sentiasa menceriakan hatinya dan mendengar segala
luahan perasaannya tanpa jemu. Yang paling penting, arwah kakaknya itulah yang sentiasa
di sampingnya di setiap peristiwa penting yang berlaku dalam hidupnya.
"Assalamualaikum, Kak
Sya," ujarnya ke arah kubur tersebut, berusaha untuk menahan air matanya.
"Kier minta maaf sebab dah lama tak datang. Tapi Kier tak pernah lupa
untuk mendoakan akak dalam setiap doa Kier. Kier janji lepas ni akan sentiasa
'lawat' akak."
"Tapi kenapa kak? Kenapa akak
buat wasiat agar Kier berkahwin dengan Faz. Kier tak faham, apa sebenarnya yang
akak fikirkan? Apa yang akak nampak pada perempuan tu?" soalnya,
bertubi-tubi seolah-olah arwah Syakila berada di hadapannya. "Nak kata
cantik..." Wajah lelaki berubah. "Okey, memanglah muka dia cantik.
Tak payah pakai make-up pun muka dia
dah berseri-seri. Eh...apa yang aku cakap ni? Kalau cantik tapi tak pandai buat
apa..." Sekali lagi Syakir menundukkan kepalanya.
"Okey, Kier tahu Fazira tu
cantik, pandai dan berkebolehan tapi Kier tak akan sesekali kahwin dengan dia,
akak faham tak?!" Tegasnya dengan tangan kanannya ditujukan ke udara. Buat
seketika suasana menjadi sunyi. Barulah dia teringat yang dia berada di tanah perkuburan.
Lelaki itu dapat merasai mata-mata yang memandangnya dengan pelik.
"Mak, kenapa dengan orang tu?"
soal seorang anak kecil kepada ibunya yang sedang berjalan menuju ke kubur ahli
keluarga mereka.
"Orang tu 'tak sihat' agaknya.
Dah jangan tengok dia, nanti dia ganggu kita pula," bisik wanita itu
kepada anaknya sambil memeluk erat anaknya.
Wajah Syakir menjadi merah seperti
tomato yang sudah masak. 'Apalah kau ni, Syakir. Buat malu saja!' marahnya
kepada diri sendiri. Dia segera memakai cermin mata gelap sebelum melangkah
laju meninggalkan perkuburan itu.
SATU
susuk tubuh muncul di sebalik pokok besar yang terletak tidak berjauhan
daripada kubur arwah Syakila. Wanita muda itu duduk membawa sebuah jag yang
berisi air dengan kelopak bunya lavender dan mawar. Cermin matanya hitamnya
segera dibuka.
"Akak mesti bosankan dengar
cakap adik akak yang manja tu," ujar Fazira lalu duduk bersimpuh di tepi
kubur arwah Syakila. Dia tertawa lucu mengenangkan 'aduan' Syakir terhadap
dirinya.
"Tapi sekarang ni, saya pun nak
mengadu dekat akak juga." Wajahnya kembali serius.
Fazira
mula membaca yasin sehingga habis lalu berdoa dengan hati yang ikhlas serta
bersungguh-sunguh. Dia sentiasa mendoakan agar arwah Syakila ditempatkan di
tempat orang-orang yang beriman. Sekuntum bunga lavender diletakkan di tepi
batu nisan yang terpahat nama arwah kakak angkatnya. Batu nisan itu diusapnya
buat kali terakhir. Wajahnya kelihatan sarat dengan fikiran.
'Akak
tahu tak, selepas arwah ibu Faz meninggal, Faz dah putus harapan untuk hidup.
Setiap hari Faz berharap yang penyakit Faz akan menjadi semakin teruk supaya Faz
akan dapat jumpa dengan ibu lagi. Tapi...kenapa? Kenapa tiba-tiba akak muncul dan beri Faz peluang untuk
hidup lagi? Sudahlah akak beri Faz keluarga dan tempat untuk berlindung,
sekarang, akak sanggup berikan adik akak untuk saya kahwini. Kenapa? Apa yang jasa
saya sampai arwah Kak Sya sanggup buat semua ni?' bisik hatinya.
Fazira
menahan air matanya, mengenangkan saat-saat terakhir dia dengan Syakila. Walaupun
arwah sedang di dalam kesakitan namun arwah masih mampu tersenyum. Arwah
berseorangan melawan penyakit kanser otaknya kerana tidak mahu membebankan ahli
keluarganya. Dia yang turut ditempatkan di hospital yang sama kerana penyakit
jantung berlubangnya sentiasa mencari alasan untuk bertemu dengan 'kakak
sukarelawan' yang selalu mengganggunya.
"Saya datang bukan
nak jumpa ciklah. Saya cuma, saya cuma..."
"Cuma apa?"
Soal Syakila sambil tersenyum sinis. "Eleh, akak tahulah Faz nak jumpa
akak, kan? Janganlah nak malu-malu kucing pula." Ujar wanita muda itu
sambil menarik-narik pipi Fazira yang berusia lima belas tahun.
"Berapa kali saya
nak cakap nama saya Ainlah..." Fazira berhenti berkata-kata apabila
melihat cecair pekat berwarna merah keluar daripada hidung Syakila.
"Alamak, teruklah.
Akak ni memang tak boleh sejuk sangat, kalau sejuk sangat, hidung akak mesti
berdarah." Ujar Syakila sambil berusaha mencapai tuala putih di tepi meja.
Namun Fazira terlebih dahulu mengambil tuala itu lalu mengelap hidung wanita
itu.
"Saya ni bukan
sesiapa pun bagi cik dan cik pun bukan
sesiapa bagi saya. Jadi depan saya, cik tak perlulah nak berlagak kuat sangat!"
Ujar Fazira dengan nada yang mendatar tetapi tegas.
Wajah Syakila berubah,
tidak menyangka yang anak sekecil itu mampu mengeluarkan kata-kata sebegitu.
"Eh?" Dia berpura-pura tidak faham sambil tersenyum bodoh.
Fazira mengenggam
penumbuknya. Rasa geram, marah dan benci semuanya bercampur-aduk di dalam
hatinya. Apa yang lebih menjengkelkan, dia merasai semua perasaan itu kerana Syakila,
orang asing yang tiada pertalian darah dengannya.
"Kan saya dah
cakap jangan nak berpura-pura depan sayalah! Saya bencikan cik! Dan cik tahu
apa yang saya paling benci tentang cik? Senyuman cik tu!" Fazira segala
rasa tidak puas hati yang dipendamnya selama ini. "Cik sekarang ni tengah
sakit, sakit kanser otak peringkat terakhir dan cik cuma ada masa untuk hidup
beberapa bulan saja lagi. Macam mana cik masih lagi senyum? Sepatutnya, cik,
sepatutnya cik..."
'Jadi macam aku, hidup
dalam kegelapan...' Bisik hati remaja perempuan itu.
"Haii," Syakila
meletakkan tangannya ke kepala Fazira yang berkerundung. Bibirnya yang pucat
mengoleskan senyuman. "Terima kasih, akak gembira sebab Faz ambil berat
tentang akak. Tapi Faz, akak tak mahu bazirkan masa yang akak ada dengan
meratap. Kita hidup bukan untuk meratap, tapi untuk mensyukuri segala nikmat
yang kita dapat daripada-Nya. Bersyukur kerana kita masih mampu menggunakan
mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan mulut untuk berbicara. Bersyukur
kerana kita masih lagi hidup hari ni sebab kita masih lagi sempat untuk
bertaubat dengan-Nya." Jelasnya dengan nada yang tenang bercampur tabah.
Fazira terpana
mendengar kata-kata wanita muda itu. "Benci... Faz bencikan akak..."
Ujar remaja itu sebelum mengalirkan air mata sederas-sedarnya. Syakila memeluk
tubuh Fazira seerat-eratnya. Dalam keadaan teragak-agak, Fazira turut membalas
pelukan Syakila.
"Apa
yang akak nampak pada diri saya ni? Apa yang buatkan akak rasa saya berhak
hidup berkeluarga?" Fazira mengutarakan persoalan yang dia tahu tiada
jawapannya. Arwah Syakila tidak mampu lagi untuk memberikan jawapan itu
kepadanya.
"Saya
cuma anak yatim, tak ada keluarga, nama atau harta nak dibandingkan dengan Abang
Kier. Abang Kier layak dapat yang seorang isteri yang baik daripada keturunan
yang baik-baik. Bukan macam saya..." Setitik air mata akhirnya jatuh
daripada pipi Fazira.
"Menangis tak
bermaksud lemah. Malah orang yang menangis itulah orang paling kuat sekali.
Kerana mereka mengaku yang mereka hanya hamba
yang penuh kekurangan."
Dia
teringat kembali nasihat yang diutarakan kepada arwah Syakila. Dia sesungguhnya
manusia yang penuh dengan kekurangan. Walaupun daripada luaran dia kelihatan
sempurna tetapi jika Syakir mengetahui perkara sebenar, dia pasti yang lelaki
itu tidak akan memandangnya langsung.
'Tidak...'
Tiba-tiba
angin bertiup lembut ke arahnya. Fazira merasai degupan jantungnya yang
berdegup dengan kelajuan yang tidak sekata. Jantung yang dahulunya merupakan
milik Syakila seakan ingin 'menyatakan' sesuatu.
Nota Feena:
Salam, semua!
Selamat Hari Malaysia!
Maaflah sebab dah hampir SETAHUN tak post apa-apa dalam blog ni! Feena busy dengan tahun akhir, praktikal dan nak siapkan manuskrip. Alhamdulillah, di pagi 16 September ni, Feena berjaya siapkan manuskrip novel FYI, DTS! Rasa berdebar-debar pula nak tunggu sama ada penerbit terima karya Feena atau tidak.
Atas permintaan ramai (ye ke?), Feena postkan sambungan FYI, DTS! yang terbaru. Bab adalah bab kedua terakhir yang Feena akan postkan kat blog ni.
Doakan semoga novel FYI, DTS! ni diterima dan dapat diterbitkan okey!
No comments:
Post a Comment