Thursday 26 December 2013

FYI, Dia Tunang Saya! 9

Bab 9 

Syida tersengih melihat salah seorang remaja perempuan yang tinggal di rumah anak yatim Rantaian Kaseh yang diuruskan oleh ibunya mengendap di tepi pintu dapur. Gadis itu kelihatan asyik memasang telinga dan tidak berhenti dari memandang Luqman yang sedang berbual dengan Ummi di dapur.
            “Aii, Balqis, terhendap-hendap macam pencuri ni kenapa? Malu dengan abang Luqman ya?” Selorohnya yang mengundang rona merah di pipi Balqis.
            “Aappa...yang akak merepek ni? Balqis, cuma...” Serentak mata Balqis dan Luqman bertemu. Gadis itu tergagap-gagap untuk menjawab. “Dahlah, Balqis pergi dulu.” Ujarnya lalu berlari laju meninggalkan dapur.
            “Syida ni kan, suka sangat menyakat orang.” Ujar Ummi.
            “Ala, ummi ni, bukan senang Syida nak usik si Balqis tu, cuma bila ada Luqman je.” Ujar Syida sambil tersenyum nakal. Dia mengambil tempat di sebelah ibunya sambil mengusap-usap perutnya yang memboyot.
            “Ishh, kau ni! Nama je mak budak tapi perangai macam budak-budak lagi.” Ujar Luqman dengan selamba. Dia dan Syida merupakan teman rapat sejak dari zaman universiti lagi. Cuma sekarang mereka jarang berjumpa disebabkan tuntutan kerja dan kesibukan Syida menguruskan rumah tangga.
            “Kau tu bila lagi? Aku dah masuk dua dah tau tapi kau, bayang isteri pun tak nampak.” Seloroh Syida.
            “Nak buat macam mana jodoh aku masih belum sampai lagi.” Luqman menjawab sambil tersenyum kelat. Terdapat sinar kelukaan di mata lelaki itu yang membuatkan Syida dan Ummi terdiam. Mereka tahu yang Luqman masih lagi belum dapat melupakan tunangnya, Ana Syakila walaupun sudah lebih tujuh tahun wanita itu meninggal dunia.

Sunday 15 December 2013

FYI, Dia Tunang Saya! 8

Bab 8
“Long time no see, Faz.”
            Ain Fazira  tersedar dari rasa terkejutnya dengan kemunculan Amir Fikri yang baru sahaja pulang dari Maldives. Dia baru menyedari betapa dekatnya dia dengan wajah abang angkatnya itu. Dia terfikir untuk berundur beberapa tapak ke belakang namun membatalkan niatnya. Sebaliknya, wanita muda itu mempamerkan wajah yang tenang dan bersahaja. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan lelaki yang suka mengusiknya. .
            “Selamat pulang, abang.” Ujarnya dengan nada yang tidak berperasaan.
            “Ah, bosannya. Kalau perempuan lain, mereka pasti rasa suka bila ada orang ‘handsome’ yang cuba memikat mereka.” Keluh Amir Fikri.
            “Atau mereka rasa macam nak patah-patahkan tulang-belulang orang itu tapi menahan perasaan kerana memikirkan yang orang itu masih ada banyak masalah.” Balas Ain Fazira pula yang mengundang tawa pada mulut Amir Fikri. Mungkin lelaki itu berasa lucu mengenangkan sikapnya yang langsung tidak berubah.
            “Ouch!” Amir Fikri mendekapkan tangan di dadanya seolah-olah menyatakan bahawa kata-kata Ain Fazira telah menikam hatinya. “Perangai berterus-terang kau ni masih belum berubah. Terubat juga rindu aku pada ka...”
            “KAU!!” Amirul Syakir terus menarik kolar baju Amir Fikri. Mungkin sedari tadi dia menahan rasa geram melihat perlakuan abangnya itu yang langsung tidak punya rasa bersalah terhadap Shirin.
            “Lepaskan tangan kau sekarang,” ujar Amir Fikri dengan nada mengugut.
            “Tahu pula kau nak balik ye? Kau tahu tak apa yang kau dah buat?” Bentak Amirul Syakir dengan kasar. “Kau tahu tak yang Shirin hampir keguguran?!!”