Tuesday 24 November 2015

WANTED: My Runaway Bride Bab 1

BAB 1

"APA dia? Si Kamal tu tertidur lagi?!"

Satu jeritan kedengaran dari rumah teres dua tingkat yang menjadi markas operasi dan pembuatan kek cawan jenama Cik Cupcake. Qistina mengetap bibirnya, seakan tidak dapat mempercayai yang dia terpaksa menghadapi perkara yang sama. Liya berdiri menikus, takut untuk menyampuk kerana bimbang akan menaikkan lagi api kemarahan majikannya itu.

"Budak bertuah! Kan akak dah beritahu yang kita ada banyak delivery nak kena buat hari ni?" marah Qistina lagi. Kalau bukan mengenangkan yang Kamal itu adik sepupunya, sudah lama dia berhentikan lelaki itu. Sudah banyak kali Kamal diperingatkan agar datang tepat pada masanya tetapi lelaki itu tetap bersikap cuai dan malas.

"Habis tu macam mana, Kak Qis?" soal Liya.

Qistina terdiam sebentar sebelum melepaskan keluhan yang panjang. "Macam mana lagi? Terpaksalah akak jadi pemandu van hari ni. Liya tunggu apa lagi? Cepatlah bawa masuk cupcake kita ke dalam van. Kita sepatutnya kena hantar pesanan yang pertama pukul sepuluh pagi. Sekarang ni pukul sembilan dah."


WANTED: My Runaway Bride Prolog


PROLOG

"AKU terima nikahnya Raisya Qistina binti Mohammad Kamil dengan mas kahwin RM 300 tunai."

Encik Kamil yang bertindak sebagai wali nikah berpaling ke arah dua orang saksi yang duduk bersebelahan dengan si pengantin lelaki. "Sah?" soalnya kepada kedua orang saksi tersebut.

"Sah."

"Sah."

Kedua-dua orang saksi berkata sambil mengangguk perlahan. Para hadirin yang turut mengikuti majlis akad nikah tersebut tersenyum gembira kerana sebuah masjid telah pun terbina dengan sempurna.

Dengan sekali lafaz, termeterainya ikatan suci bagi dua insan. Ikatan yang menghalalkan segala fitrah buat suami isteri dan menjadi asas institut kekeluargaan agar dapat melahirkan generasi yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunah.