Tuesday 29 December 2015

WANTED: My Runaway Bride 3

Bab 3

"Huh..." Kamal melepaskan satu keluhan yang berat lagi panjang. Wajahnya seperti seorang yang ditimpa masalah yang besar. Fikirannya menerawang kembali kepada peristiwa beberapa jam yang lalu. Pada saat pertemuan Qistina dengan Qayyum di kedai yang bakal menjadi markas operasi Cik Cupcake yang baru. Bagaimana kakak sepupunya itu hampir terjatuh kerana terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Bagaimana lelaki itu memeluk pinggang kakak sepupunya bagi mengelakkan dari wanita itu terjatuh.

Pada waktu itu, Kamal juga berada dalam keadaan terkejut. Dia tidak menyangka akan dapat berjumpa dengan Qayyum di sini. Dengar cerita dari Qistina, lelaki itu telah pergi bermastautin di Melbourne dan tidak balik sampailah sekarang. Jadi macam mana pula boleh alih-alih muncul di Johor Bahru pula!

Sunday 13 December 2015

WANTED: My Runaway Bride 2

Bab 2
"JIHAN!!!!!!"

Suara Qistina yang lantang dan nyaring hampir memecahkan gegendang telinga Nurjihan. Nurjihan yang berada di dalam kapal terbang AirAsia yang akan berlepas ke Istanbul bersama dengan suaminya terloncat akibat terkejut. Perbuatannya membuatkan penumpang-penumpang yang duduk di sebelah mereka menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
Nurjihan berdehem beberapa kali sambil berpura-pura seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia kemudian menutup sedikit bahagian mulutnya agar tidak menganggu penumpang kapal terbang yang lain.

"Hei, apa pasal kau terjerit-jerit ni, hah? Dah buang tabiat ke?" marah Nurjihan, yang sudah biasa menggunakan kata ganti diri 'kau' dan 'aku' apabila berbual dengan teman rapatnya. Panas hatinya apabila mendengar jeritan Qistina sebaik sahaja dia menjawab panggilan rakannya. Dia ingatkan Qistina mahu mengucapkan selamat jalan kepada dia dan suaminya yang akan berbulan madu di Istanbul, rupa-rupanya...

"Kau ni kan! Kau ni kan! Kau ni kan....!"

Kedengaran suara Qistina yang tersekat-sekat seperti siaran radio yang rosak. Nurjihan mengerutkan keningnya kerana tidak dapat menangkap langsung kenapa suara rakannya kedengaran sangat terdesak dan marah.

Tuesday 24 November 2015

WANTED: My Runaway Bride Bab 1

BAB 1

"APA dia? Si Kamal tu tertidur lagi?!"

Satu jeritan kedengaran dari rumah teres dua tingkat yang menjadi markas operasi dan pembuatan kek cawan jenama Cik Cupcake. Qistina mengetap bibirnya, seakan tidak dapat mempercayai yang dia terpaksa menghadapi perkara yang sama. Liya berdiri menikus, takut untuk menyampuk kerana bimbang akan menaikkan lagi api kemarahan majikannya itu.

"Budak bertuah! Kan akak dah beritahu yang kita ada banyak delivery nak kena buat hari ni?" marah Qistina lagi. Kalau bukan mengenangkan yang Kamal itu adik sepupunya, sudah lama dia berhentikan lelaki itu. Sudah banyak kali Kamal diperingatkan agar datang tepat pada masanya tetapi lelaki itu tetap bersikap cuai dan malas.

"Habis tu macam mana, Kak Qis?" soal Liya.

Qistina terdiam sebentar sebelum melepaskan keluhan yang panjang. "Macam mana lagi? Terpaksalah akak jadi pemandu van hari ni. Liya tunggu apa lagi? Cepatlah bawa masuk cupcake kita ke dalam van. Kita sepatutnya kena hantar pesanan yang pertama pukul sepuluh pagi. Sekarang ni pukul sembilan dah."


WANTED: My Runaway Bride Prolog


PROLOG

"AKU terima nikahnya Raisya Qistina binti Mohammad Kamil dengan mas kahwin RM 300 tunai."

Encik Kamil yang bertindak sebagai wali nikah berpaling ke arah dua orang saksi yang duduk bersebelahan dengan si pengantin lelaki. "Sah?" soalnya kepada kedua orang saksi tersebut.

"Sah."

"Sah."

Kedua-dua orang saksi berkata sambil mengangguk perlahan. Para hadirin yang turut mengikuti majlis akad nikah tersebut tersenyum gembira kerana sebuah masjid telah pun terbina dengan sempurna.

Dengan sekali lafaz, termeterainya ikatan suci bagi dua insan. Ikatan yang menghalalkan segala fitrah buat suami isteri dan menjadi asas institut kekeluargaan agar dapat melahirkan generasi yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunah.

Friday 23 October 2015

Isyarat 143!


1 Ayat, 3 Perkataan, 8 Huruf

DUNIA tidak pernah mempedulikan kehadiranku. Aku ibarat rumput di tepi jalan. Tidak ada yang istimewa tentang diriku untuk membuatkan orang memandangku buat kali kedua. Namun aku menyukai keadaan itu. Aku berharap yang kehidupanku akan kekal tanpa sebarang masalah atau konflik yang menyesakkan dada. Biarlah segalanya berlalu seperti biasa setiap hari. Walaupun tidak seronok dan membosankan tetapi lebih selamat dan aku tidak perlu takut kecewa jika apa yang aku harapkan tidak menjadi.

Tapi kenapa?

Kenapa seseorang muncul untuk merosakkan rutin harianku? Seseorang yang muncul tanpa sebarang isyarat dan mampu mengucar-kacirkan hidupku tidak sampai sesaat aku dipertemukan. Kenapalah skuterku boleh rosak waktu itu? Kenapalah aku pergi menunggu bas di stesen bas tepi taman itu? 
            
Aku mengatup mataku. Kenangan tiga minggu yang lalu terbayang kembali di benak fikiranku.

"DOUBLE flying kick!!"
            
Tubuhku terasa seperti dihempap dengan benda yang berat tetapi lembut. Aku berusaha untuk memalingkan tubuhku untuk melihat apa yang menghempapku. Kedengaran bunyi degupan jantung serta bunyi erangan yang garau. Rupa-rupanya aku telah dihempap oleh seorang lelaki. Lelaki yang bertubuh kurus kering itu, bergegas bangun sampai sanggup memijak tubuhku. Aku yang masih tidak tahu hujung pangkal cerita terpaksa menahan kesakitan.

Wednesday 23 September 2015

FYI, Dia Tunang Saya! Special 3


Latar masa: Selepas Ain Fazira bersetuju untuk bertunang dengan Amirul Syakir

"HEI, perempuan! Apa sebenarnya yang kau rancang hah?!!" Syakir melampiaskan kemarahannya kepada Fazira yang bersandar di tepi kereta Honda Civic miliknya. Geram hatinya memandang wanita yang sentiasa berwajah macam tiada perasaan itu. Fazira mengunci mulutnya dan hanya memandang jauh ke tepi jalan tempat kereta itu dihentikan.
            Panas hati Syakir melihat perbuatan wanita itu yang langsung tidak mempedulikan amarahnya. Hatinya bertambah geram apabila mengenangkan abangnya yang langsung tidak menunjukkan rasa bersalah melibatkannya di dalam skandal tersebut dan ibunya yang melayannya seperti orang yang bersalah.
            
            "Kan, aku dah cakap dengan kau. Perempuan tu memang hipokrit. Dia memang pandai ambil kesempatan. Tapi kau kan memang suka ambil 'bekas' aku."

            'Tak guna kau Fikri! Kalau bukan sebab mummy dan Rin, dah lama dah aku buat perhitungan dengan kau!' bentak Syakir di dalam hati. Dia kemudian berpaling kembali ke arah wanita 'hiporkrit' itu. "Hei, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?!"
            Fazira mengerutkan keningnya. Dia malas mahu bertegang leher dengan Syakir yang telinga kuali itu. Oleh sebab itulah, dia mendiamkan diri sedari tadi. Lelaki itu pun satu, kalau mahu bergaduh pun tidak perlulah sampai berhenti di tepi jalan. "Ya, saya dengar. Sesiapa pun dapat dengar jelas bila awak menjerit macam singa kelaparan."

Wednesday 16 September 2015

FYI, Dia Tunang Saya! 14

BAB 14
"APA semua ni? Sandiwara apa yang papa cuba mainkan ni?" soal Syakir di hadapan seluruh ahli keluarganya. Dia berusaha untuk menahan amarahnya agar tidak kedengaran biadap.
            Sebaik sahaja majlis hari jadi itu berakhir, Dato' Farid telah menyuruh semua ahli keluarganya berkumpul di rumah agam keluarga mereka untuk menjelaskan tentang keputusannya. Lelaki berusia pertengahan umur itu tenang sahaja menghadapi kemarahan Syakir. Syafiq dan Nazira diarahkan oleh Datin Melisa untuk masuk ke dalam bilik tetapi dalam diam-diam mereka mencuri-curi dengar dari balkoni atas. Fikri sekadar tersenyum sinis memikirkan keputusan ayahnya yang tidak masuk akal manakala Shirin sekadar menjadi pemerhati.
            "Dah puas dah?" soal Dato' Farid. "Atau ada lagi yang Kier rasa tak puas hati?" Persoalan lelaki pertengahan umur itu dibiarkan tidak berjawab.
            "Faz, kenapa senyap saja? Faz tak rasa pelik dengan keputusan papa?" soal Dato' Farid kepada Fazira yang membisu sedari tadi. Semua mata memandang wanita muda itu, ingin mengetahui jawapan wanita itu.
            Fazira menarik nafas panjang. "Faz cuma akan tanya satu soalan sahaja, kenapa? Apa sebab papa nak kami bertunang sampai papa sanggup menipu Faz dengan Abang Kier untuk balik ke rumah?" soalnya dengan nada yang tenang. Walaupun pada mulanya dia juga ingin menghamburkan rasa tidak puas hatinya seperti Syakir tetapi dia memilih untuk berfikir secara rasional.
            "Hah, itulah soalan yang papa nak dengar!" ujar Dato' Farid dengan wajah yang  ceria. "Kalau Kier tanya soalan tu dari tadi kan senang? Tak payahlah papa nak dengar segala bebelan Kier," ujarnya lagi yang mengundang rasa geram di hati Syakir. Ayahnya itu sering sahaja membandingkan dirinya yang cepat marah dengan Fazira yang sentiasa tenang dan rasional.