Tuesday 29 December 2015

WANTED: My Runaway Bride 3

Bab 3

"Huh..." Kamal melepaskan satu keluhan yang berat lagi panjang. Wajahnya seperti seorang yang ditimpa masalah yang besar. Fikirannya menerawang kembali kepada peristiwa beberapa jam yang lalu. Pada saat pertemuan Qistina dengan Qayyum di kedai yang bakal menjadi markas operasi Cik Cupcake yang baru. Bagaimana kakak sepupunya itu hampir terjatuh kerana terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Bagaimana lelaki itu memeluk pinggang kakak sepupunya bagi mengelakkan dari wanita itu terjatuh.

Pada waktu itu, Kamal juga berada dalam keadaan terkejut. Dia tidak menyangka akan dapat berjumpa dengan Qayyum di sini. Dengar cerita dari Qistina, lelaki itu telah pergi bermastautin di Melbourne dan tidak balik sampailah sekarang. Jadi macam mana pula boleh alih-alih muncul di Johor Bahru pula!


Apa yang lagi memelikkan, Qayyum dan Qistina boleh berlagak seperti normal. Mereka boleh berbincang tentang hiasan dalaman seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Kalau dia, sudah tentu berlaku perang dunia ketiga agaknya! Namun bila fikir balik, tidak mungkinlah mereka berdua mahu bergaduh di depan Cindy dan Liya yang tidak tahu-menahu tentang 'sejarah' mereka berdua. Selepas selesai perbincangan, Qayyum mengajak Qistina pergi dengan alasan ingin ke kedai untuk melihat perabot.  Selepas itu dia tidak mendengar langsung khabar berita tentang mereka berdua.

Dia memejamkan matanya dengan harapan dapat melepaskan diri dari kekusutan yang melanda jiwanya. 'Macam manalah dengan keadaan Kak Qis agaknya? Kenapa...tak...macam mana Abang Qayyum boleh muncul tiba-tiba macam silap mata pula ni?'

Ketika lelaki itu sedang asyik melayan perasaannya, tiba-tiba dia berasa sakit di belakang bahunya. Serentak matanya dibuka. Wajah Liya yang duduk bertentangan dengannya ditenung dengan tajam. 


Tangan wanita itu yang memegang majalah wanita yang digulung cukup sebagai bukti yang wanita itu telah memukulnya. "Wei, sakitlah! Apa main pukul-pukul ni?"

"Yang kau tu asyik mengeluh dari tadi kenapa? Dah macam kucing hilang anak je." ujar Liya dengan wajah berkerut seribu.

"Adalah, kau tak payah nak menyibuk." balas Kamal dengan nada yang jengkel sebelum menyedut air kelapa muda yang segar dan manis. Tangannya menopang dagu sambil dia melemparkan pandangan ke jalan raya yang berdekatan dengan warung tepi jalan itu.

Liya sekadar mencebikkan bibirnya. "Aku tahu, kau mengeluh ni ada kena-mengena dengan Encik Interior Design yang handsome tu kan?"

Wajah Kamal berubah serta-merta. Spontan dia menatap wajah Liya yang melihatnya sambil mengangkat-angkat kening. 'Eh budak ni, macam tahu-tahu je.'

"Siapa sebenarnya dia tu? Apa hubungan dia dengan Kak Qis? Kau pun macam kenal dia je, entah-entah dia tu..."

"Dia tu..?" Kamal sengaja mengulangi kata-kata Liya. Tidak mungkinlah untuk dia memberitahu tentang hal peribadi kakak sepupunya pula.

"Manalah aku tahu! Sebab tulah aku tanya kau. Sejak Kak Qis jumpa dengan lelaki tu perangai dia jadi pelik semacam. Selalu termenung, selalu mengelamun sampai pagi tadi pun dia terlambat bangun. Mesti lelaki tu ada hubungan istimewa dengan Kak Qis, kan, kan, kan?" telah Liya. Setiap kali dia menyebut perkataan 'kan' mukanya semakin lama semakin mendekati wajah Kamal sampailah mata mereka bertemu.

Kamal segera memalingkan wajahnya. "Kan aku dah cakap banyak kali, kau jangan nak jaga tepi kain orang." ujarnya lagi tanpa berniat untuk memberitahu apa-apa kepada wanita itu.

Liya menundukkan kepalanya. Bibirnya kemudian mempamerkan senyuman yang mengerikan sehingga meremang bulu roma Kamal. "Oh, jadi kau lebih relalah kalau aku beritahu Kak Qis apa yang kau buat sampai kau tak datang hari tu?" soalnya dengan nada mengugut.


"Hei, kau kan dah janji tak akan beritahu sesiapa pun pasal hal tu!" bentak Kamal.

"Jadi..." Liya memeluk tubuhnya. Sebelah keningnya terangkat-angkat seolah-olah memaksa Kamal memberitahu apa yang dia ingin tahu.

Kamal menelan air liurnya. Kalau rahsianya sampai ke telinga Qistina sudah pasti dia akan 'dimasak' gulai oleh kakak sepupunya itu. "Abang Qayyum tu sebenarnya..."

"Sebenarnya?" Liya kelihatan teruja untuk mengetahui sambungan jawapan Kamal.

"Sebenarnya..."

"Sebenarnya apa?!" bentak Liya yang tidak sabar sambil menepuk meja plastik warung tersebut dengan kuat. Akibat terkejut dengan tindakan wanita itu, Kamal secara tidak sedar melatah seperti nenek tua.

"Oppocot...Abang Qayyum tu..tu...sebenarnya suami...suami Kak Qis!"

"Apa dia?!"

***      ***      ***

Qistina melepaskan pandangannya ke luar tingkap kereta. Sebaik sahaja dia memasuki kereta Qayyum, lelaki itu memandu sehingga ke Danga Bay. Lelaki itu memberhentikan keretanya di tepi jalan bersebelahan dengan pantai. Terik mentari di siang hari membuatkan tidak ada sesiapa yang bersantai di kawasan itu.

Qistina berusaha menahan diri daripada menunjukkan rasa cuaknya. Padahal tangannya kini basah dengan peluh akibat terlalu gementar menanti apa yang ingin dikatakan oleh Qayyum. Lelaki itu masih kekal membisu sambil bersandar di tempat duduknya.

"Qa...Qayyum..." Tergagap-gagap Qistina ingin memulakan bicaranya. Namun, Qayyum tidak memberikan sebarang respon. Cermin mata hitam yang dipakai oleh lelaki itu membuatkan Qistina tidak dapat meneka perasaan lelaki itu. Qistina memberanikan diri untuk mengoncang sedikit bahu kiri Qayyum.

"Hem..." Kedengaran suara Qayyum yang serak-serak basah. Lelaki itu bangun dari tempat duduknya sambil menguap panjang.

"Yang awak tidur tu kenapa?!" bentak Qistina dengan nada yang geram. Buat penat saja dia mempersiapkan fikiran dan mentalnya untuk menghadapi kemarahan Qayyum. Namun, lelaki itu boleh tidur pula!


"Aku masih jetlaglah." jawab Qayyum sambil mengosok-gosok matanya. Wajahnya yang 'toya' itu cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja menyampah. Yang peliknya, lelaki itu hanya akan menunjukkan wajah itu kepada Qistina sahaja.

"Dah tahu jetlag, pergi tidur kat rumah! Yang awak pergi kerja kenapa?!"

"Baiknya kau, memang layak dapat anugerah isteri 'mithali'." Qistina tersentak apabila mendengar kata-kata Qayyum yang berbaur sindiran itu. Rasa bersalah menebal di dalam hatinya. Dia sedar selama ini dia telah banyak buat salah kepada lelaki itu. Bukan setakat pada lelaki itu sahaja tetapi kepada ahli keluarga lelaki itu.

"Aku dengar dari Zafran, kau ada tanya Jihan tentang aku. Jadi aku tak perlulah nak cerita panjang macam mana aku boleh cari kau." Qayyum membuka cermin matanya. "Aku ingatkan kau lari sampai ke benua Antartika. Tak sangka rupanya, kau masih ada di Malaysia. Aku memang tak ada skill menyiasat." sambungnya lagi dengan nada menyindir.

"Saya minta maaf..." ujar Qistina dengan nada perlahan. Jelas terpancar rasa bersalah dari riak wajahnya. "...atas apa yang berlaku lima tahun yang lalu. Saya tahu yang saya salah. Saya berdosa pada awak dan juga pada ahli keluarga awak. Saya betul-betul menyesal dengan apa yang saya dah buat..."

Kata-kata Qistina terhenti apabila mendengar Qayyum ketawa. Semakin lama ketawa Qayyum kedengaran semakin kuat. Malah apa yang lebih menyakitkan adalah wajah sinis lelaki itu. "Raisya Qistina, minta maaf? Hari ni memang hari bertuah aku."

Wajah Qayyum kemudian berubah menjadi garang. "Maaf?! Semudah tu je kau minta maaf? Hei, kau tahu tak sebab kau, aku dengan ahli keluarga aku terpaksa tanggung malu? Semuanya gara-gara kau lari lepas majlis pernikahan kita tamat! Sudahlah kau lari depan semua tetamu, kau lari dengan jantan mana entah! Lepas lima tahun kau hilangkan diri, kau nak minta maaf macam tu je? Kau rasa kau layak ke nak dapat kemaafan aku?" Qayyum terus-terusan menghamburkan api amarahnya.

Qistina mengenggam kedua belah tangannya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa malunya dia diperlakukan sedemikian rupa. Dia sedar dahulu dia bukanlah seorang yang baik. Dia pentingkan diri dan tidak pernah pedulikan perasaan orang lain. Namun, lelaki itu tidak berhak untuk memperlekehkan pengakuan maafnya seperti sampah yang tidak bernilai. Dia masih lagi mempunyai maruah dan harga diri. "Okey, jadi sekarang ni awak nak buat apa? Awak nak ceraikan saya?"

Qayyum memandang wajah Qistina dengan tajam. Lelaki itu kelihatan seperti terguris hatinya mendengar kata-kata Qistina. "Kenapa kau tak minta cerai lima tahun yang lalu? Kau sendiri tahu yang selagi kau masih menjadi isteri aku, kau tak akan dapat kahwin dengan jantan kau tu. Dia dah tinggalkan kau ke?"

Qistina mengetap bibirnya. Darahnya terasa seperti sedang mendidih apabila mendengar kata-kata nista yang dilontarkan oleh Qayyum. "Awak tak perlu nak babitkan orang lain. Kalau awak nak ceraikan saya, awak ceraikan saya sekarang. Saya pun tak teringin nak tengok muka awak lagi!"

Qayyum tertawa kecil. "Hei, kalau lima tahun lepas kau minta cerai, aku dengan rela hati akan ceraikan kau. Sebab aku pun tak teringin nak tengok muka kau. Tapi sekarang fikiran aku dah berubah." Qayyum mempamerkan senyuman jahatnya. Dia memegang dagu Qistina sambil tersenyum sinis.


"Apa maksud awak?" soal Qistina dengan nada yang cemas. Pada masa yang sama, dia cuba untuk melepaskan diri daripada cengkaman suaminya.

"Tak akan kau masih lagi tak faham? Aku tak akan sesekali ceraikan kau. Aku nak kau jalankan tanggung jawab kau sebagai isteri aku, Raisya Qistina binti Muhammad Kamil!"

Kata-kata Qayyum membuatkan Qistina terpana. Apakah lelaki itu sedar akan kesan daripada kata-kata itu? "Awak ingat saya akan terima cadangan awak semudah tu? Saya tahu yang awak sengaja nak ikat saya dengan perkahwinan kita sebab awak nak balas dendam dengan saya, kan?"

Qayyum sekadar mencebikkan bibirnya. "Kau rasa kau ada pilihan ke? Talak terletak di tangan aku. Kalau kau minta cerai taklik pun, kau tak akan menang sebab kau yang nusyuz dengan aku! Aku boleh tuntut perintah taat setia dari mahkamah. Jadi kau pilih, kau nak pergi mahkamah atau nak jalankan tanggungjawab kau sebagai isteri aku?"


***      ***      ***

Nota Feena: 
Salam kepada semua ^_^
Terima kasih kepada yang membaca tidak kurang juga yang memberikan komen tentang cerita WMRB ni. Baru bersemangat nak sambung. Sepatutnya bab ni Feena nak post minggu lepas (p/s: Feena akan post bab baru setiap 2 minggu, Insyallah, kalau tak ada aral melintang), tapi tertangguh sebab buat persediaan untuk test jpj. Dan Alhamdulillah, Feena lulus dengan jayanya. Hehe...Feena harap kalian dapat enjoy bab ni dan menunggu bab seterusnya. 

Jumpa lagi, insyallah dua minggu lagi ^_^

No comments:

Post a Comment