Monday 11 January 2016

WANTED: My Runaway Bride 4

Bab 4
QAYYUM terjaga dari tidurnya apabila mendengar telefon Samsungnya berdering kuat. Dia mengeluh berat sambil mengaru-garu belakang lehernya yang tidak gatal. 'Siapa pula yang ganggu aku tengah-tengah malam ni?'


"Qayyum!!!"

Suara jeritan yang memekakkan telinga membuatkan Qayyum terus hilang rasa mengantuk. Dia mengenali suara lelaki yang 'mengaum' macam dinasaur tyranosaurus itu. Rakan baiknya, Zafran yang sedang berbulan madu di Istanbul itu kemudian membebel dengan kelajuan sama seperti keretapi laju di Jepun. Dia tidak mampu untuk menangkap apa yang Zafran katakan.

Qayyum berdehem tiga kali. Satu tindakan yang bersahaja namun membuatkan rakan baiknya menghentikan bebelannya yang panjang berjela. "Zaf, Zaf, kau tahukan yang aku tak faham kalau kau cakap laju macam bullet train Jepun. So tolong tenangkan fikiran kau dulu dan tarik nafas, lepas, tarik nafas, lepas, tarik nafas, lepas..." arahnya seperti seorang doktor. "Dah tenang dah?"


"Hem..." Kedengaran nada suara Zafran yang perlahan namun masih menyimpan saki-baki kemarahan yang Qayyum masih tidak mengerti puncanya.

"Sekarang ni kau beritahu aku kenapa kau telefon aku dalam keadaan marah-marah ni? Kau tahu tak sekarang ni dah pukul 12 tengh malam. Aku tahulah yang di Istanbul sekarang baru nak menjengah senja. Tapi yang kau kacau aku ni kenapa? Pergilah kacau isteri kau." ujar Qayyum.

"Macam mana aku nak kacau isteri aku kalau isteri aku tarik muka kelat dengan aku? Aku datang ke Istanbul ni dengan nak bermanja-manja dengan isteri aku. Nak berlakon babak romantik dalam filem hindustan. Tapi...tapi...sekarang ni kita orang dah macam dalam perang dunia ketiga dah tahu tak?" Zafran mengomel dengan nada suara yang sedih lagi letih.

Qayyum tersenyum sumbing. 'Lah, gaduh dengan isteri ke? Ceh, baru dua hari pergi honeymoon, dah perang besar.'

"Apa yang kau gaduhkan dengan isteri kau? Dan apa kena-mengenanya dengan aku pula?" soal Qayyum. Sewaktu Zafran membebel, dia sempatlah juga mendengar Zafran menyebut, 'Ini semua salah kau!'

"Apa kena-mengenanya dengan engkau? Eei, si Jihan tu marah dekat aku sebab kau buli kawan dia, Qistina, bini kau tu!" balas Zafran dengan geram. Sakit hati memikirkan rakannya yang langsung tidak dapat mengagak punca kemarahannya. Sebaik sahaja Jihan dapat tahu yang identiti sebenar Qayyum, terus isterinya itu menarik muka masam. Lebih teruk lagi apabila isterinya mendapat tahu daripada Qistina 'permintaan' Qayyum yang memang boleh dikatakan tidak masuk akal itu.

"Kenapa kau tak setuju nak lepaskan Qistina dengan cara baik? Kenapa kau nak ikat dia dalam perkahwinan yang kau orang tak sudi nak teruskan lagi?" soal Zafran.

Qayyum mengetap bibirnya. Apabila mendengar nama Qistina, hatinya terasa sebal. "Ini urusan aku dengan perempuan tu, kau tak perlu masuk campur, okey." ujarnya dengan nada yang dingin.

"Masalahnya rumah tangga aku pun dah terbabit sekali. Jihan marah sebab aku tak beritahu pasal kau dengan Qistina. Semuanya sebab kau yang paksa aku janji untuk rahsiakan perkara tu!" bentak Zafran.

'Hish, sibuk betul!' gumam Qayyum. Dia tidak mengerti kenapa Jihan bermati-matian ingin membela Qistina. Kalau diikutkan dialah mangsa keadaan, bukan perempuan itu. Dia yang ditinggalkan oleh perempuan itu sebaik sahaja mereka selesai bernikah. Dia yang terpaksa menghadap umpatan dan ejekan orang ditinggalkan isteri. Sekarang ni dia pula yang salah? "Habis tu kau nak suruh aku buat macam mana? Nasi dah jadi bubur. Kau pujuklah isteri kau tu baik-baik."

"Amboi, pandainya kau cakap!" ujar Zafran yang kedengaran seperti ngomelan mak cik-mak cik. 

"Mengugut tu definisi  pujuk isteri kau baik-baik ke? Kan aku dah kata, kau bincanglah baik-baik dengan si Qistina tu. Jangan fikirkan sangat pasal apa yang dah berlaku lima tahun lepas."

"Walaupun perkara dah berlaku lima tahun lepas tapi kesan dia masih kekal sampai sekarang tahu tak? Kalau tak, tak akanlah aku sampai terpaksa pergi kerja kat Melbourne, semata-mata sebab dah letih dengan tohmahan orang pasal aku yang ditinggalkan oleh isteri pada hari perkahwinan kami!" balas Qayyum dengan nada yang sedikit keras. Dia tidak tahan mendengar sahabatnya turut sama membela Qistina.

Kedengaran helaan nafas Zafran. Lelaki itu berdiam seketika, mungkin mahu memikirkan kata-kata yang sesuai untuk menyejukkan hati Qayyum. "Kau sendiri cakap yang nasi dah jadi bubur. Tak elok aniaya orang, Qayyum. Kau tak akan dapat faedah membalas dendam ni." nasihat Zafran dengan nada memujuk.

Lidah Qayyum terkelu. Dia tidak dapat untuk membalas kata-kata sahabatnya itu. Akhirnya dia mengalah. "Yelah, yelah, aku tengoklah macam mana nanti." jawabnya dengan separuh hati. Padahal dia tidak berniat pun untuk berbuat demikian. 'Sekarang ni, kau pergi pujuk isteri kau. Assalamualaikum!"

"Hey, Qayyum, Qayyum....!"

Qayyum lekas-lekas menamatkan panggilan tersebut. Dia tidak larat untuk meneruskan perbualannya dengan Zafran yang dia tahu yang dia tidak akan boleh menang. Dia kemudian menghenyakkan tubuhnya ke atas katil sambil menjerit kecil dengan harapan dapat membuang kekusutan yang bersarang di benak fikirannya. Siling bilik tidurnya yang suram dan tidak bercahaya ditenung dalam-dalam.

Apabila memikirkan peristiwa siang tadi, hatinya diragut rasa kesal. Sebenarnya dia tidak berniat langsung untuk mengugut Qistina untuk kembali semula kepadanya. Walaupun dia memang amat membenci wanita itu dan kalau boleh ingin wanita itu hidup sengsara tetapi dia tidaklah kejam sangat untuk mengikat wanita dalam perkahwinan yang tidak bahagia.

Dia terlanjur kata kerana tidak mampu mengawal kemarahannya. Sakit hatinya mengenangkan perilaku Qistina yang berlagak seperti tidak melakukan kesalahan apa-apa. Malah memintanya untuk melafazkan talak dengan wajah yang bersahaja. Seperti perkahwinan itu ibarat satu permainan.

"Dari dulu sampai sekarang, kau masih lagi anggap perkahwinan itu satu permainan. Aku tak akan berpuas hati selagi aku tak dapat runtuhkan keangkuhan kau, Raisya Qistina!"

***      ***      ***

QISTINA duduk berteleku di kerusi meja kerjanya. Matanya tidak berkelip memandang skrin komputer Asusnya yang berwarna ungu metalic. Wajahnya kelihatan seperti berserabut dengan masalah. Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi namun dia masih tidak tidur. Atau perkataan yang sebetulnya, ada perkara yang menganggunya dari tidur dengan nyenyak.


Fikirannya tertumpu sekali lagi pada laman web yang dibuka agar dapat menghilangkan kekusutan fikirannya. Dengan bantuan Pak cik Google, dia mencari maksud nusyuz. Dia terus membuka satu pautan internet yang menghuraikan maksud nusyuz.

Nusyuz bererti isteri yang enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak iaitu:
i) jika dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
ii) jika dia meninggalkan rumah suaminya tanpa izin dari suaminya;
iii) jika dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab munasabah yang sah mengikut hukum syarak.

Satu keluhan yang berat dilepaskan. Dia telah melakukan ketiga-tiga sebab yang menyabitkan seorang isteri sebagai nusyuz. Dia bukan sahaja telah meninggalkan rumah suaminya malah dia telah menjauhkan diri daripada suaminya selama lima tahun. Kini, apabila suaminya mahu dia berpindah ke rumah suaminya, dia enggan malah sanggup meminta untuk dilepaskan.

"Ya Allah, sesungguhnya aku berdosa kepada suamiku." rintih Qistina. Dia pernah membaca di satu laman web mengenai syarat bertaubat jika berdosa kepada Allah atau kepada manusia. Jika dia berdosa dengan Allah, antara syarat-syarat yang bertaubat adalah:
1. Menyesal melakukan dosa-dosa yang telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
2. Mestilah berazam untuk tidak lagi mengulangi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.
3. Berusaha untuk meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa dengan Allah.

Namun, syarat agar taubat atas dosa yang dilakukan oleh manusia diterima mempunyai satu lagi tambahan. Si pelaku dosa haruslah meminta maaf atau redha (halal) kepada orang yang si pelaku telah berbuat dosa terhadapnya. Jika orang itu memberikan kemaafan barulah taubat tersebut diterima oleh Allah.

'Jika kita ikhlas bertaubat kepada Allah, Insyallah, dosa kita akan diampunkan kerana Dia sesungguhnya yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Tapi untuk mendapatkan keampunan daripada manusia...tidaklah mudah dan menuntut kesabaran yang tinggi...' keluh Qistina. Dia sedar bukan mudah untuk meminta maaf apatah lagi untuk memaafkan kesalahan seseorang. Perkataan minta maaf tidak akan dapat memadamkan kesalahan yang dia telah lakukan kepada Qayyum selama lebih lima tahun.

Tiba-tiba, Qistina mendengar pintu biliknya diketuk. Kemudian, kedengaran suara pengasuhnya, Cik Wan memanggil namanya. Qistina memberi izin kepada Cik Wan untuk masuk. Cik Wan muncul dalam keadaan wajah yang sedikit basah dengan air. Qistina mengagak yang wanita itu baru sahaja selesai mengambil wuduk.

"Qis, kenapa tak tidur lagi?" soal Cik Wan lalu duduk di tepi katil Qistina. "Qis ada masalah ke?"

Qistina memusingkan tubuhnya agar berhadapan dengan pengasuhnya itu. Dia berdiam diri buat seketika kerana terasa berat untuk menceritakan perkara yang merunsingkan fikirannya. Namun, dia tidak sampai hati untuk membohongi Cik Wan yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.

Qistina menarik nafas sedalam yang mungkin lalu berkata, "Cik Wan, Qis...jumpa Qayyum."

"Qayyum?! Suami Qis?!!" soal Cik Wan. Matanya terbuntang sebaik sahaja mendengar nama tersebut. Nama yang sudah lebih lima tahun tidak didengari. Nama yang selama ini seakan 'taboo' untuk disebut di hadapan Qistina. Patutlah sejak dua menjak ini, anak asuhannya itu berperangai pelik dari kebiasaanya. 

Qistina mengangguk lemah. Wajahnya kelihatan pucat dan tidak bermaya. Cik Wan dapat mengagak ada sesuatu lagi yang wanita itu tidak ceritakan.

"Dekat Johor Bahru ni? Bukan Qis kata yang dia tinggal kat Melbourne sekarang?" Cik Wan mengutarakan kemusykilannya.

"Dia dah buat keputusan nak menetap di sini terus. Qis minta cerai dengan dia tapi dia tak nak. Dia nak Qis tinggal dengan dia, Cik Wan." balas Qistina. Jawapannya menyebabkan Cik Wan beristighfar dalam hati. Dia memandang Qistina yang kelihatan walang. Hatinya turut berasa sedih melihat anak asuhannya sedang bersedih.

"Qis pandang Cik Wan." arah Cik Wan. Qistina menurut arahan pengasuhnya tanpa sebarang bantahan.

"Qis betul-betul ke nak bercerai dengan Qayyum?" soal Cik Wan tanpa berbasa-basi.

Qistina mendiamkan diri. Dia tidak tahu bagaimana untuk memberikan jawapan yang sesuai tentang soalan tersebut. Dia dan Qayyum bukanlah berkahwin atas dasar saling mencintai. Mereka berkahwin atas kemahuan keluarga. 

Dia tahu apa yang terjadi adalah kesilapannya. Cadangan ibu bapanya untuk memperkenalkan dia dengan anak kepada rakan baik mereka diterima bukan kerana ikhlas ingin mencari pasangan hidup. Tetapi kerana dia ingin membalas dendam terhadap teman lelakinya, Ashraf yang memutuskan hubungan mereka kerana terpaksa berkahwin dengan pilihan keluarga juga.

Sebaik sahaja mereka bertemu, dia sendiri yang mengutarakan cadangan untuk berkahwin secepat mungkin. Semata-mata kerana ingin menjadikan Qayyum sebagai alat untuk membalas dendam. Namun, Ashraf kemudian berubah fikiran. Ashraf tidak sanggup untuk meneruskan perkahwinan atas pilihan keluarga. Oleh kerana terlalu menyayangi Ashraf, dia tegar melarikan diri dari rumah walaupun dia telah sah menjadi isteri Qayyum.

Dia tidak mahu menggunakan alasan yang dia baru berusia dua puluh tiga tahun ketika itu untuk menafikan kesilapannya. Dia yang terlalu manja dan kurang matang. Dia tidak dapat menjangka kesan daripada tindakannya melarikan diri malam itu bakal menjadikan dia terpenjara oleh rasa bersalah sampai bila-bila.

"Qis, Cik Wan rasa baik Qis ikut je cakap Qayyum. Lagipun dari segi hukum, Qis masih lagi isteri Qayyum yang sah. Qis ada tanggungjawab kepada Qayyum sebagaimana Qayyum ada tanggungjawab terhadap Qis." cadangan Cik Wan mematikan lamunan Qistina.

"Tapi Cik Wan, Qayyum tu bukannya ikhlas nak Qis tinggal dengan dia. Dia nak balas dendam sebab Qis tinggalkan dia dulu." ujar Qistina.

"Cik Wan tahu, tapi kalau Qayyum betul-betul nak balas dendam dengan Qis dah tentu dia boleh buat yang lagi teruk. Dia cuma nak Qis kembali taat kepada dia saja." balas Cik Wan.

"Tak akanlah atas sebab tu, Cik Wan nak Qis balik semula dengan Qayyum? Qis dah permainkan dia, sakitkan hati dia dan malukan dia dengan ahli keluarga dia. Qis tak nak jadi pengemis dalam rumah tangga kami nanti. Qis tak mahu berdepan dengan kebencian dia setiap hari." Qistina petah mengutarakan hujahnya untuk berpisah dengan Qayyum. Dia tidak mahu kesilapannya dijadikan sebagai tiket bagi Qayyum untuk membalas dendam. Walaupun dia sudah berubah tetapi dia tidaklah sanggup untuk hidup terpenjara dalam perkahwinan yang tidak bahagia.

"Qis, Cik Wan ni dah anggap Qis macam anak Cik Wan sendiri. Jadi kalau boleh, Cik Wan rumah tangga Qis terlerai macam tu je. Biarlah penceraian tu jadi jalan terakhir. Cik Wan percaya yang Qis boleh padamkan api kemarahan Qayyum. Buktikan yang Qis dah berubah. Buktikan yang Qis yang berdiri di hadapan Cik Wan ni bukan lagi Raisya Qistina lima tahun yang lalu." Cik Wan memberikan nasihatnya yang terakhir sebelum berlalu pergi. Dia ingin memberi ruang untuk anak asuhannya berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan yang penting itu. Sempat juga dia menyuruh anak asuhannya melakukan solat istikharah bagi meminta petunjuk kepada yang Maha Esa.


Qistina merebahkan kepalanya ke meja kerjanya selepas pengasuhnya keluar dari biliknya. Dia kemudian pergi ke meja solek lalu membuka laci meja soleknya. Sebentuk cincin dikeluarkan daripada sebuah kotak muzik yang juga merupakan kotak menyimpan barang kemasnya. Cincin platinum bertakhta berlian itu merupakan cincin yang disarungkan oleh Qayyum pada majlis perkahwinan mereka. Selepas dia melarikan diri daripada rumah lima tahun yang lalu, dia tidak pernah menyarungkan lagi cincin tersebut.

'Ya Allah, Engkau berikanlah hamba-Mu ini kekuatan untuk menebus segala kesilapan hamba.' bisik hati kecilnya sebelum dia pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk. Hanya Allah sahajalah yang mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya.


***      ***      ***

Nota Feena:

Salam, bertemu sekali lagi. Hehe..^_^
Bab kali ini susah sikit nak buat sebab kena rujuk beberapa laman web untuk ketahui makna nusyuz dan syarat taubat atas dosa dengan Allah dan manusia. Feena sertakan linknya di bawah sebagai rujukan.

Bagaimana dengan bab kali ini? Best tak? Feena harap jalan cerita dia memuaskan hati pembaca. Rasa-rasanya apa yang Qis akan buat? Tinggal dengan Qayyum atau teruskan niatnya untuk minta cerai? Kalau nak tahu, tunggulah sambungannya ya!


1. Tentang nusyuz: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=10609.0
2. Tentang syarat taubat: http://www.usahataqwa.com/rohaniah/syarat-taubat/

No comments:

Post a Comment