Tuesday 29 December 2015

WANTED: My Runaway Bride 3

Bab 3

"Huh..." Kamal melepaskan satu keluhan yang berat lagi panjang. Wajahnya seperti seorang yang ditimpa masalah yang besar. Fikirannya menerawang kembali kepada peristiwa beberapa jam yang lalu. Pada saat pertemuan Qistina dengan Qayyum di kedai yang bakal menjadi markas operasi Cik Cupcake yang baru. Bagaimana kakak sepupunya itu hampir terjatuh kerana terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Bagaimana lelaki itu memeluk pinggang kakak sepupunya bagi mengelakkan dari wanita itu terjatuh.

Pada waktu itu, Kamal juga berada dalam keadaan terkejut. Dia tidak menyangka akan dapat berjumpa dengan Qayyum di sini. Dengar cerita dari Qistina, lelaki itu telah pergi bermastautin di Melbourne dan tidak balik sampailah sekarang. Jadi macam mana pula boleh alih-alih muncul di Johor Bahru pula!

Sunday 13 December 2015

WANTED: My Runaway Bride 2

Bab 2
"JIHAN!!!!!!"

Suara Qistina yang lantang dan nyaring hampir memecahkan gegendang telinga Nurjihan. Nurjihan yang berada di dalam kapal terbang AirAsia yang akan berlepas ke Istanbul bersama dengan suaminya terloncat akibat terkejut. Perbuatannya membuatkan penumpang-penumpang yang duduk di sebelah mereka menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
Nurjihan berdehem beberapa kali sambil berpura-pura seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia kemudian menutup sedikit bahagian mulutnya agar tidak menganggu penumpang kapal terbang yang lain.

"Hei, apa pasal kau terjerit-jerit ni, hah? Dah buang tabiat ke?" marah Nurjihan, yang sudah biasa menggunakan kata ganti diri 'kau' dan 'aku' apabila berbual dengan teman rapatnya. Panas hatinya apabila mendengar jeritan Qistina sebaik sahaja dia menjawab panggilan rakannya. Dia ingatkan Qistina mahu mengucapkan selamat jalan kepada dia dan suaminya yang akan berbulan madu di Istanbul, rupa-rupanya...

"Kau ni kan! Kau ni kan! Kau ni kan....!"

Kedengaran suara Qistina yang tersekat-sekat seperti siaran radio yang rosak. Nurjihan mengerutkan keningnya kerana tidak dapat menangkap langsung kenapa suara rakannya kedengaran sangat terdesak dan marah.