Sunday 13 December 2015

WANTED: My Runaway Bride 2

Bab 2
"JIHAN!!!!!!"

Suara Qistina yang lantang dan nyaring hampir memecahkan gegendang telinga Nurjihan. Nurjihan yang berada di dalam kapal terbang AirAsia yang akan berlepas ke Istanbul bersama dengan suaminya terloncat akibat terkejut. Perbuatannya membuatkan penumpang-penumpang yang duduk di sebelah mereka menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
Nurjihan berdehem beberapa kali sambil berpura-pura seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia kemudian menutup sedikit bahagian mulutnya agar tidak menganggu penumpang kapal terbang yang lain.

"Hei, apa pasal kau terjerit-jerit ni, hah? Dah buang tabiat ke?" marah Nurjihan, yang sudah biasa menggunakan kata ganti diri 'kau' dan 'aku' apabila berbual dengan teman rapatnya. Panas hatinya apabila mendengar jeritan Qistina sebaik sahaja dia menjawab panggilan rakannya. Dia ingatkan Qistina mahu mengucapkan selamat jalan kepada dia dan suaminya yang akan berbulan madu di Istanbul, rupa-rupanya...

"Kau ni kan! Kau ni kan! Kau ni kan....!"

Kedengaran suara Qistina yang tersekat-sekat seperti siaran radio yang rosak. Nurjihan mengerutkan keningnya kerana tidak dapat menangkap langsung kenapa suara rakannya kedengaran sangat terdesak dan marah.


"Apa dia? Aku ni dah ada dalam kapal terbang, tahu tak? Baik kau cakap cepat sebelum aku terpaksa matikan telefon aku." desak Nurjihan, tidak mahu menunggu lagi.

"Qayyum..." tutur Qistina dengan nada yang menuduh.

"Qayyum? Qayyum mana pula ni? Oh, kau nak suruh aku kenalkan dengan bestfriend suami aku, si Qayyum tu ke? Najla ada cerita pasal kau terjatuh waktu hantar cupcake kat majlis persandingan aku sebab terkejut tengok muka si Qayyum tu. Ooi, tak akanlah kau dah ter'jatuh' cinta sekali dengan dia? Kau jangan main-main, adik aku dah cop tu." ujar Nurjihan sambil tertawa lucu. Kata-katanya membuatkan Qistina semakin berang.

"Kau ni nak main-mainkan aku ke? Dia tu..." Qistina berhenti berkata-kata. Dia menarik nafas panjang-panjang sebelum menyambung kembali kata-katanya, "Nama penuh dia, Muhammad Qayyum bin Muhammad Aniq!"

"Wah, hebat betul! Sampai kau tahu nama penuh dia...hah!" Mulut Nurjihan ternganga. Otaknya baru dapat mencerna makna nama tersebut kepada Qistina. "Ya Allah!"


"Serius ke kau tak tahu?" soal Qistina, masih tidak dapat mempercayai kata-kata rakannya. Tidak mungkinlah Nurjihan tidak dapat mengenali Qayyum langsung sedangkan mereka pernah berjumpa lima tahun yang lalu.

"Betullah! Aku betul-betul tak tahu yang 'Qayyum' bestfriend suami aku tu 'Qayyum' kau." balas Nurjihan dengan bersungguh-sungguh. Dia pernah berjumpa dengan 'Qayyum' Qistina sekali sahaja, itu pun pada lima tahun yang lepas. "Kau pasti ke? Bukan last sekali kau jumpa dia waktu lima tahun yang lalu ke? Pelanduk dua serupa kot."

"Walaupun sekarang penampilan dia dah berubah dan dia bercermin mata tapi muka 'toya' dia tu aku tak akan dapat lupakan sampai bila-bila tahu tak!"

"Oh, patutlah waktu aku tunjukkan gambar kau waktu kita sama-sama di universiti dulu, muka dia berubah semacam. Habis tu apa kau nak buat?" soal Nurjihan.

"Berapa lama dia ada kat Malaysia sebelum dia balik semula ke Melbourne?" soal Qistina.

Nurjihan tertanya-tanya bagaimana Qistina mengetahui yang Qayyum bermastautin di Melbourne walaupun sudah hampir lima tahun mereka tidak berjumpa. Namun dia membiarkan sahaja persoalan itu di dalam hati kerana tidak mahu mencampuri urusan peribadi rakannya. "Emm, dengar cerita dari suami aku, Qayyum dah buat keputusan nak menetap balik di Malaysia..."

"What?!" Qistina tergamam seketika mendengar berita tersebut. "Kalau macam tu, kau boleh tak minta tolong dengan suami kau untuk...."

"Qis, sorrylah. Aku kena tutup handphone aku sekarang." potong Nurjihan.

"Eh, Jihan sekurang-kurangnya beritahulah..."

"Bila sampai kat Istanbul aku akan call kau balik, aku janji!" ujar Nurjihan dengan tergesa-gesa sebelum panggilan tersebut ditamatkan dengan segera.

Qistina duduk membatu di atas katilnya sambil melihat telefon Oppo miliknya dengan wajah tidak berperasaan buat seketika. Tidak lama kemudian, dia merebahkan tubuhnya ke katil lalu menekupkan mukannya ke patung Hamtaro yang menjadi penemannya setiap malam. Satu jeritan kecil dilepaskan.

"Ya Allah, apa aku nak buat? Apa aku nak buat sekarang?!" Qistina bangun. Kepalanya terasa berserabut.

"Patut ke aku cari dia? Tapi aku tak tahu dia tinggal kat mana. Entah-entah dia dah balik KL sekarang. Patut ke aku pergi rumah family dia?" Qistina terdiam apabila menyedari apa yang dia katakan. Wajahnya berubah menjadi keruh. Peristiwa lima tahun lepas bermain-main kembali di mindanya.


"'Qayyum' aku?" Qistina mengulangi kata-kata Nurjihan sambil memeluk patung Hamtaronya yang sama saiznya dengan kanak-kanak berusia lima tahun. "Layak ke aku nak gelar dia dengan panggilan tu lagi?" bisiknya dengan nada yang sayu.

***      ***      ***

SEBUAH motor kapcai memasuki perkarangan rumah teres dua tingkat yang menjadi markas operasi Cik Cupcake. Kamal menanggalkan topi kelendarnya sebelum menarik nafas dalam-dalam. Hatinya terasa berat untuk memasuki rumah tersebut kerana takut untuk menghadapi api kemarahan kakak sepupunya.

'Ya Allah, kau lembutkanlah hati kakak sepupu aku tu, Amin...' Kamal berdoa di dalam hati dengan bersungguh-sungguh.

"Assalamualaikum, akak..?"

Kemunculan Kamal disambut oleh Cik Wan yang merupakan pengasuh Qistina yang sentiasa menjaga wanita itu sejak dari bayi lagi. Kamal mengerutkan dahinya.

"Mal, dah datang?" soal wanita yang berusia lewat empat puluhan itu.

Cik Wan memberikan Kamal dulang berisi sepinggan karipap kentang dan teko berisi air teh untuk diletakkan di meja makan yang terletak diluar rumah. Di situlah tempat Kamal menunggu dan menerima arahan daripada Qistina. Lagipun tidak manis baginya untuk masuk ke dalam rumah yang didiami oleh tiga orang wanita.

"Cik Wan, mana kak Qis?" Soal Kamal dengan wajah yang pelik. Kebiasaanya Qistina akan terus menyambutnya dengan batang penyapu. Kadang-kadang mereka sampai main kejar-kejar keliling halaman rumah!

"Tak bangun lagi." balas Cik Wan sambil menjemput Kamal untuk bersarapan terlebih dahulu. Nanti kalau Qistina sudah turun dari bilik, ada kemungkinan besar Kamal terpaksa buka langkah seribu untuk melarikan diri dari Qistina.

Kamal mengeluarkan jeritan kecil dengan wajah tidak percaya. "Akak tak bangun tidur lagi? Langit dah runtuh ke?" soalnya. Dia berasa musykil kerana selama ini kakak sepupunya tidak pernah terlambat bangun. Setiap pagi Qistina akan mengikut jadual yang sama. Lepas bangun Subuh terus ke dapur untuk siapkan tempahan kek cawan.

"Hah, datang pun!" sergah Liya yang muncul tiba-tiba di saat Kamal sedang minum teh o panas.

"Fuh!" Kamal yang terkejut dengan sergahan Lia tersedak. Dia menepuk-nepuk dada yang terasa pedih. "Hei, kau ni boleh tak berperangai macam perempuan sikit. Tiba-tiba je sergah orang! Bagilah salam ke apa ke? Patutlah sampai sekarang kau masih tak ada boyfriend."


"Ala, tak payah nak kutuk akulah. Tak lama lagi siaplah kau kena penangan Kak Qis."

Serta-merta wajah Kamal berubah. "Kak Qis mesti marah sangat dengan aku, kan? Kalau tak tak akanlah dia tak telefon aku langsung semalam. Aku call banyak kali tapi handphone dia dimatikan pula." ujarnya dengan wajah yang risau. Nampaknya nyawa dia memang di hujung tanduk sekarang.

"Ye ke?" Liya terdiam seketika. Peristiwa semalam menganggu fikirannya. Dia pasti yang perubahan sikap Qistina ada kena-mengena dengan 'teman lelaki' adik Nurjihan yang mereka jumpai semalam. Selepas mereka masuk ke dalam van, Qistina berdiam diri buat beberapa ketika dengan wajah yang pucat. Siap berpeluh seluruh tubuhnya. Sampai dia jadi takut untuk bertanya Qistina apa yang sebenarnya telah terjadi.

"Mal, kau kenal tak lelaki yang nama dia..."

"Kamal bin Arif!!" Satu jeritan yang mampu memecahkan gegendang telinga. Kamal yang baru sahaja mengunyah karipap terloncat sampai tersebur karipap yang ada di dalam mulutnya.
Qistina muncul dengan wajah menyeringai.

"Ampun kak, ampun!" Kamal sudah sedia untuk mengangkat kaki kalau kakak sepupunya sudah mula mengangkat batang penyapu. "Sorrylah kak. Mal tertidur sebab penat sangat hantar tempahan hari tu."

"Jangan nak temberang! Mal pergi 'mengeteh', kan? Lagi sekali Mal buat perangai macam ni, akak beritahu Mak Uda, biar dia piat-piat telinga Mal." marah Qistina.

"Okey, okey. Mal janji Mal tak buat lagi. Akak ni garang betullah. Macam manalah suami akak boleh tahan dengan perangai akak yang garang..." Kamal menutup mulutnya. Dia baru menyedari akan keterlanjuran kata-katanya. Dia melihat wajah Qistina yang sudah hilang amarahnya. Kelihatan sinar kesayuan di sebalik mata kakak sepupunya.

"Sudah-sudah, mari sarapan. Malulah kalau jiran tengok." Cik Wan cuba untuk memperbaiki suasana yang keruh dengan menukar topik perbualan. Liya yang tidak tahu apa-apa hanya menurut walaupun ingin tahu akan maksud di sebalik kata-kata Kamal dan reaksi Qistina.

"Akak, pukul dua petang nanti kita ada appointment dengan Cik Cindy untuk bincang tentang tema hiasan dalam untuk kedai kedai kita, tau." Liya mengingatkan.

Qistina baru teringat. "Astagfirullahazim. Terlupa pula akak. Emm, kalau macam tu, akak ikut kau orang sekalilah hantar tempahan cupcake. Nanti, kita sama-sama pergi ke kedai tu."

"Alhamdulillah, tak lama lagi impian Qis akan tercapai. Cik Wan berdoa yang segala urusan Qis untuk buka kedai akan berjalan dengan lancar.

"Terima kasih, Cik Wan." Qistina tersenyum simpul lalu menyelak laman terakhir pada buku notanya. Terdapat lukisan sebuah kedai menggunakan pensel warna ditampal di laman terakhir buku nota tersebut.  'House of Cik Cupcake'. Itu impiannya selama ini. Untuk membuka khusus untuk menjual pelbagai jenis cupcake. Dia sentiasa membayangkan melihat pelbagai jenis pelanggan mengunjungi kafenya untuk bersantai dan menikmati minum petang bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

***      ***      ***

QISTINA melihat keadaan kedai yang kosong dengan beberapa rak roti atau pastri. Dahulu kedai tersebut merupakan sebuah bakeri roti dan kek. Jadi, kedai tersebut sudah dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian dapur di belakang dan bahagian jualan di hadapan. Dia sudah berpuas hati dengan keadaan dapur yang masih lagi dalam keadaan baik dan sesuai untuk pembuatan kek cawan. Dia cuma ingin mengubah susun atur di bahagian hadapan. Dia berharap agar dapat membuat satu kawasan di mana pelanggan boleh duduk dan bersantai.

'Tapi bahagian hadapan ni terlalu sempit kalau nak tambah meja dan kerusi. Lepas tu nak letak rak untuk cupcake lagi. Macam mana nak buat, ek?' Qistina tenggelam dalam fikirannya. Tangannya yang memegang pen yang dihiasi dengan mencoret-coret halaman buku notanya yang penuh dengan lukisan dan deskripsi mengenai susun atur dalaman yang diinginkan. Dia mahu pereka dalaman yang bakal ditemuinya nanti dapat memahami apa yang dia inginkan.

"Mana pula Cik Cindy kita ni? Dah nak dekat satu jam kita tunggu tak sampai-sampai lagi." rungut Qistina. Nasib baiklah mereka tidak perlu menghantar apa-apa tempahan lagi selepas ini. Qistina pernah menemui Cindy semasa sesi konsultasi mereka yang pertama di pejabat urusan Art of Space. Kali ini mereka buat keputusan untuk berjumpa di kedai agar memudahkan mereka untuk berbincang tentang tema dan konsep yang Qistina inginkan.

"Maaf, 'kami' terlambat." Cindy, wanita berbangsa Cina menyapa Qistina. Kamal dan Liya sedang bertegang urat tentang warna apa yang diinginkan untuk menghiasi dinding kedai tersebut lekas-lekas berhenti bergaduh. Mereka tidak mahu dilihat seperti anak kecil di hadapan wanita berkulit kuning langsat itu.

Qistina mengerutkan keningnya. Susuk tubuh seorang lelaki yang bersembunyi di belakang Cindy menarik perhatiannya. Dengan berketinggian Cindy yang persis seorang model itu ditambah lagi dengan pemakaian kasut tinggi membuatkan Qistina tidak dapat melihat wajah lelaki di belakang Cindy.

"Ah," Cindy beralih ke tepi bagi memberi laluan kepada lelaki yang berdiri di belakangnya. "Perkenalkan ni, Encik Muhammad Qayyum Muhammad Aniq. Dia baru sahaja ditukarkan ke cawangan Johor Bahru dari ibu pejabat kami di Melbourne. Encik Qayyum ni akan bantu saya untuk mereka susun atur dalaman kafe Cik Qistina."

"Terlambat satu jam tak apa, kan? Daripada terpaksa tunggu lima tahun?" soal Qayyum sambil tersenyum penuh makna. Matanya tidak berkerdip memandang Qistina.

Qistina yang terkejut hampir terjatuh sekali lagi kalau bukan Qayyum menangkap pinggangnya. Tubuh Qistina dirangkul dengan begitu erat. Jarak antara wajah mereka hanya seinci sahaja.


"Are you okay, 'Cik' Raisya Qistina?" soal Qayyum sambil memandang Qistina dengan pandangan yang sinis lagi tajam.

***      ***      ***


Nota Feena:
Salam semua! Kita bertemu sekali lagi. 9 Disember ni merupakan hari yang mengembirakan kerana hari tersebut adalah hari jadi Feena. Hehe...tak malu sebut birthday sendiri, bukan ada sesiapa tanya pun. Tapi Feena rasa gembira sebab Feena sudah pun berusia 22 tahun. Jadi kena jadi lebih matang dan berdikari.

Okey tak bab WMRB kali ni? Satu fakta menarik yang Feena dapat, 'toya' itu maksudnya, sejenis mimik muka yang tidak bermaya, annoying, dan bila orang tengok rasa nak lempang*. Ada sesiapa yang dapat teka apa sebenarnya hubungan antara Qistina dengan Qayyum? Kalau nak tahu kena tunggu bab seterusnya, hehe...

Setakat ini sahaja, jumpa lagi ^_^




*http://www.kamusdialek.com/maksud.php?char=T&kd_id=243&dialek=Toya

4 comments:

  1. Bestla feena citer ni..hope feena cpt2 update next chap..hehe..btw happy belated birthday..semoga trcapai sgala yg diingini di dunia n akhirat

    ReplyDelete
  2. i feel u. cerita yg menarik

    ReplyDelete
  3. i feel u. cerita yg menarik

    ReplyDelete