Sunday 2 November 2014

FYI, Dia Tunang Saya! Special 2: Dia Yang Bernama Ana...

Nota kecil: Akhirnya sempat juga habiskan cerita pendek ini. Maaflah kepada yang menunggu. Apa-apa pun enjoy!! ^_^

FYI, Dia Tunang Saya! Special 2: Dia Yang Bernama Ana...

ACH... ACCH..! ACCHOOO!!!

Amirul Syakir terbaring lemah di hadapan sofa ruang tamu rumah agam keluarganya dalam keadaan hidung dan mulutnya ditutupi dengan penutup mulut. Hidungnya berkerut-kerut apabila zarah-zarah habuk berterbangan di sekitar kawasan ruang tamu itu. Sekali lagi dia bersin berulang-kali. 

'Tak boleh jadi ni!!!' Bentak hatinya lalu bangun dan berpaling ke arah kawasan stor di bawah tangga di mana beberapa orang manusia sedang sibuk menyelongkar keluar barang dari stor tersebut.

"Achoo!!" Belum sempat dia berkata apa-apa sekali lagi dia bersin sekuat-kuatnya.

"Ishh!!" Ain Fazira bangun dengan perasaan geram. "Kan saya dah cakap yang saya balik nak kemas barang-barang kak Sya!! Dah tahu alah, yang awak tu sibuk nak ikut kenapa?" Balasnya, geram. Pasangan bertunang itu sekali lagi berlawan renungan.

"Adoi, dah start sesi gaduh diaorang ni. Kak Faz ngan Abang Kier ni tak letih ke asyik gaduh je." Rungut Amira Nazira yang sedang mengelap barangan kaca. 

"Alah, biarkan je. Kejap lagi baiklah tu." Bisik Amirul Syafiq dengan wajah yang tidak kisah lalu mengeluarkan lagi sebuah kotak daripada stor di tepi tangga itu.

"Dahlah tomboi, katik pula tu." Ejek Amirul Syakir.

"Apa dia, singa berjambang?" Ain Fazira menjulingkan matanya. 

"Ek ehem!!"

Suara deheman itu membuatkan mereka berempat kembali ke posisi masing-masing. Datin Melisa muncul sambil bercekak pinggang. 

"Dah, Kier cepat makan ubat alahan ni." Ujar Datin Melisa, menunjukkan ubat yang diletakkan di meja makan. Ish mummy tak tahulah macam mana keadaan kamu bila kamu berdua dah kahwin nanti."

"Hem!" 
"Hem!"
Ain Fazira dan Amirul Syakir masing-masing berpaling ke arah berlawanan. 

"Mummy, semua barang kat stor ni mummy nak buang ke?"

"Barang-barang yang elok, mummy nak sedekahkan pada rumah kebajikan, barang yang boleh kitar semula letakkan dalam kotak ni, nanti mummy suruh pak San hantar kat pusat kitar semula. Yang dah betul-betul rosak dan tak boleh dipakai baru kita buang."

"Eh, ni kan..." Ain Fazira berhenti mengemas. Dia memandang Amirul Syafiq yang sedang memegang sebuah album yang kulitnya dihiasi dengan bungaan kering yang sudah luntur warnanya.

"Kenapa?" Soal Amirul Syakir dengan wajah yang lemah.

"Ni album kak Sya ke?" Soal Ain Fazira yang mengundang perhatian semua yang berada di situ.

"Macam mana akak tahu?" Soal Amira Nazira pula, ingin tahu.

"Bunga lavender kan bunga kesukaan kak Sya." Jawab Ain Fazira dengan senyuman yang kelat. Dia menunjukkan bunga lavender kering yang ditampal pada kulit album tersebut.

Amirul Syafiq segera membuka album tersebut. Mereka melihat gambar yang diambil oleh arwah Ana Syakila yang rata-ratanya berlatar belakangkan kehidupan sehariannya. Terdapat gambar rakan-rakan di tempat kerja, ahli keluarganya dan juga anak-anak di rumah anak yatim Rantaian Qaseh dalam keadaan melucukan. Namun tidak ada pula gambar arwah, mungkin kerana arwah yang mengambil semua gambar tersebut. Ain Fazira tertarik pada satu gambar.

"Eh ni kan.."

"Haha, gambar siapa pula ni?" Amira Nazira tergelak besar. Namun kemudian dia mendapati sesuatu yang aneh pada gambar tersebut. "Nanti dulu...ni bukan gambar abang Kier dengan kak Faz ke? Kenapa abang dengan akak....!"


***

Wednesday 20 August 2014

FYI, Dia Tunang Saya! Special: Penangan Ketam Bunga!

FYI, Dia Tunang Saya! Special: Penangan Ketam Bunga!

Tempat Kejadian: Restoran Makanan Laut Segar
Latar Masa: Dalam tempoh Faz dan Syakir bertunang...

Senyuman yang sedari tadi tidak lekang di bibir Ain Fazira hilang serta-merta. Matanya sedikit terbeliak apabila melihat satu susuk tubuh yang amat dikenalinya beserta dengan 'segerombolan' manusia di belakangnya. Tanpa sengaja, wanita muda itu mengeluh perlahan. Dia sudah dapat membayangkan kekecohan yang akan berlaku dengan kehadiran tetamu-tetamu yang 'tidak diundang' itu.

"Eh, Cik Faz!! Encik Luqman pun ada!" Salah seorang daripada pekerja bahagian Pemasaran dan Jualan KZ Perfumes yang agak kepoh menyapa Ain Fazira dengan suara yang nyaring sehingga menarik perhatian pelanggan yang sedang menjamu selera di restoran tersebut. Tajam sekali mata pekerja wanita itu sehingga dapat menangkap wajahnya yang duduk di meja yang agak tersorok di penjuru restoran tersebut.

"Kak Ros!" Sapa Ain Fazira, berpura-pura terkejut. "Wah, semua orang dari P&J(pemasaran dan jualan) pun ada! 'Kecil' betul dunia ni kan." Ujarnya sambil memandang tajam ke arah Amirul Syakir yang buat muka sepuluh sen.

"Awak, sini kejap." Lemah-lembut wanita itu mengajak Amirul Syakir keluar dari restoran tersebut. Amirul Syakir yang mengikut dari belakang bersedia untuk menerima bahana daripada perbuatannya itu.

Sebaik sahaja pasangan tunang itu keluar dari restoran tersebut, perangai Ain Fazira berubah 360 darjah. "Apa yang awak buat dekat sini, hah? Siap bawa anak-anak buah awak pula tu!" Tiada lagi kelembutan pada nada suaranya melainkan kemarahan yang membuak-buak.

Saturday 5 July 2014

Coretan 5: 'Hiatus' Note

Salam semua, 
Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. 
Feena harap Feena tak mengecewakan sesiapa yang menunggu sambungan FYI, DTS.
Sebenarnya, Feena dah fikir masak-masak dan dah buat keputusan untuk tidak menyambung FYI, DTS. (What?!)http://eemoticons.net

Emm..Feena ada beberapa sebab tertentu kenapa Feena buat keputusan ni. Dan antaranya, selepas bab 13 FYI, DTS, Feena tak mampu untuk menulis sambungan yang memuaskan hati Feena. Feena rasa seperti dah menemui jalan buntu.  Seperti cerita itu tergantung di situ. Feena dah cuba menulis bab seterusnya tetapi Feena rasa sangat tak puas hati dan depressed dengan jalan cerita tersebut.http://eemoticons.net Feena rasa ada beberapa perubahan yang Feena kena buat untuk cerita ni agar dapat memberikan sebuah kisah yang segar dan memberi kepuasan baik kepada Feena dan juga kepada pembaca. 

Oleh itu, Feena merasakan adalah lebih baik Feena berhenti membuat sambungan FYI, DTS sehinggalah Feena dapat menangkap jalan cerita yang lebih menarik. Insyaallah lepas Ramadhan ni, Feena akan cuba untuk memberikan cerita yang lebih menarik lagi.

Sekian, terima kasih.
Afeena Shahhttp://eemoticons.net

Monday 19 May 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 13

Bab 13

Di sebuah perbukitan yang tidak jauh daripada rumah agam keluarga Dato’ Farid Badrul, terdapat satu susuk tubuh berdiri dengan wajah yang penuh kesayuan. Dia melihat rumah banglo tiga tingkat itu yang dihiasi dengan khemah dan bunga manggar. Kelihatan para tetamu yang terdiri daripada sanak-saudara dan sahabat-handai keluarga tersebut yang berpakaian serba indah.
            Pada mereka, hari ini merupakan hari bagi meraikan dua jiwa yang bersatu di bawah satu ikatan yang suci. Namun baginya, hari ini adalah  hari di mana dia kehilangan orang yang disayanginya ke tangan orang lain. Hari ini merupakan hari perkahwinan Amir Fikri, lelaki yang pertama berjaya membuka pintu hatinya.
            Ain Fazira tersenyum kelat. Cuba untuk menguatkan diri. Andai ini takdir yang terbaik untuknya, dia pasrah. Malah dia mendoakan semoga lelaki itu bahagia dengan perkahwinan tersebut walaupun pertemuan kedua mempelai penuh dengan onar dan duri.
            “Semoga abang bahagia...” Tiba-tiba Ain Fazira terpandang kelibat seseorang yang melalui pintu belakang. “Abang Syakir?” Dia memerhatikan kelakuan abang angkatnya itu yang diketahui menghilangkan diri sejak Dato’ Farid Badrul memutuskan untuk mengahwinkan Amir Fikri dengan Shirin, kekasih lelaki itu.
            Dia dapat mengagak apa yang abang angkatnya itu ingin lakukan. Dia lekas mencapai telefon bimbit dari poket jaketnya. “Assalamualaikum, datin...”

Friday 2 May 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 12

Bab 12

“Kalau saya terpaksa memilih antara abang dengan papa...saya, akan pilih papa!”
             Mata Amir Fikri terbeliak mendengar jawapan yang terkeluar daripada mulut bekas tunangnya itu. Tubuhnya terasa seperti terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi. Lelaki itu terasa seperti dia berada di dalam sebuah mimpi yang buruk.
            Sekali lagi dia memandang wanita yang merupakan insan pertama yang berjaya mengetuk pintu hatinya itu. Jika dulu ketegasan dan kematangan wanita muda yang berusia dua puluh dua tahun itu memikat hatinya tetapi kini dia terasa seperti dikhianati oleh satu-satunya wanita yang dia sayangi.
            Apabila dia terdengar perbualan antara Datuk Farid Badrul dan Datin Melisa akan pertemuan ayahnya itu dengan kekasih hatinya di Rantaian Kaseh, dia terus ke rumah anak yatim itu untuk bertemu dengan wanita itu. Menurut kiraannya, kepulangan Ain Fazira ke Malaysia adalah untuk memujuknya agar membatalkan perkahwinannya dengan Shirin yang akan berlangsung hari ini. Alih-alih, wanita itu tega menyuruhnya kembali ke rumah dan meneruskan perkahwinannya.
            Alasan yang diberikan wanita itu mudah, tidak mahu dia menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak menyangka yang wanita itu tidak mengerti bahawa dia juga merupakan mangsa keadaan. Bahawa dia teraniaya walaupun dia tidak tahu siapa yang menjeratnya dengan Shirin ke hotel sehingga mereka ditemui dalam keadaan tanpa seurat benang.
            Malah kesanggupannya untuk meninggalkan kedudukan dan jawatannya sebagai CEO KZ Perfumes dipandang sepi oleh wanita itu. Seolah-olah pengorbannya tidak ada sebarang makna pada wanita itu.
            “Jadi demi papa, Faz sanggup tengok abang kahwin dengan orang lain? Faz sanggup biarkan abang dicemuh orang sebab kahwin dengan kekasih adik abang sendiri?”
            “Kenapa tidak?” Balas Ain Fazira dengan menunjukkan raut wajah bersahaja. “Sebab saya bertunang dengan abang dulu pun, sebab papa...”
           
“Abang,”
            Panggilan Shirin menarik Amir Fikri semula ke alam nyata. Dia memandang persekitarannya yang dipenuhi oleh orang ramai yang berbusana indah dan moden. Alunan muzik klasik mengembalikan ingatannya bahawa dia berada di majlis hari jadi Datuk Farid Badrul yang ke-60.

Tuesday 18 March 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 11

Bab 11

Rimbunan lavender yang terbentang luas ibarat permaidani indah dilihat dengan penuh rasa takjub. Kalaulah dapat diukur darjah kegembiraannya, pasti akan melepasi garisan maksimum! Akhirnya tercapai juga niatnya untuk menjejakkan kaki ke padang lavender yang terletak di Nice, Perancis.
            Tubuhnya berpusing perlahan dengan matanya yang tertutup rapat. Haruman lavender yang menenangkan menusuk ke hidungnya. Haruman tersebut seakan menghilangkan segala masalah yang melandanya selama ini.
SNAP!
            Dengan tidak semena-mena, dia menangkap bunyi kamera mengambil gambar berdekatan dengannya. Lantas matanya terbuka luas. Wajah seorang lelaki yang berkot labuh berwarna hitam memakai mafela biru ditatap dengan raut wajah masam mencuka. Bukannya lelaki itu tidak mengetahui bahawa dia tidak suka gambarnya diambil.
            “Abang Fikri..!” Ujar Ain Fazira, geram melihat senyuman nakal lelaki itu.
            “Sorry, tapi Faz nampak cantik sangat. Macam pari-pari bunga…” Balas Amir Fikri sambil mengenyit matanya. Ain Fazira mengeluh perlahan, terpaksa mengalah dengan perangai nakal lelaki itu. Mereka kemudian berbalas senyuman seolah-olah dunia hanya dimiliki mereka berdua sahaja.

“Cik Fazira?”
            Ain Fazira tersedar dari lamunannya. Fikirannya terbejat seketika. Dia melihat wajah-wajah orang bawahannya yang memakai kot putih sepertinya memandangnya dengan wajah yang penuh penantian.
            Baru wanita itu teringat bahawa dia dan orang-orang bawahannya sedang bermesyuarat tentang produk minyak wangi yang akan dihasilkan sempena Hari Ibu yang akan menjelang tiga bulan dari sekarang. Penghasilan minyak wangi tersebut diharap dapat menaikkan kembali jenama KZ Perfumes yang kini kurang diminati oleh pengguna.
            “Cik Fazira, apa pendapat cik tentang sampel-sampel yang kami hasilkan ni?” Soalan yang diutarakan oleh Jenny, pembantunya yang berbangsa Cina membuatkan dia menatap kembali beberapa keping ‘perfume test strips’ yang dipegang sedari tadi.

Thursday 6 February 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 10

Bab 10

“AWAK. NAK. APA?”
            “Warghh?!” Amirul Syakir tersedar dari lamunannya. Wajah Ain Fazira memenuhi ruang pandangannya, membuatkan dia terkejut sangat-sangat, dalam bahasa kasarnya terkejut ‘beruk’.
            “Hishh, awak ni tak reti bagi salam ke? Ni main terjah orang macam gitu je. Manalah tahu kalau orang ada sakit jantung ke, lemah semangat ke, siapa yang susah?” Leter lelaki itu sambil mengurut-gurut dadanya.
            Ain Fazira mengetap bibirnya menahan marah. Nasib baiklah mereka berada di tempat terbuka. Kalau tidak, sudah lama dia hadiahkan satu tumbukan percuma pada muka abang angkatnya itu.   Dari pejabat sehingga ke Suria KLCC, Amirul Syakir tidak berhenti dari mengekorinya. Tebal mukanya menahan malu apabila orang ramai berbisik-bisik melihat kelakuan Amirul Syakir yang terhendap-hendap mengikutnya
            ‘Sabar, Faz. Jangan dilayan orang tak betul ni. Makin dilayan makin sakit hati adalah.’ Bisik hati kecilnya. Dia berpaling lalu melangkah laju meninggalkan Amirul Syakir, sengaja membiarkan lelaki itu bercakap seorang diri.
            “Hei, Faz! Tunggulah sekejap.” Amirul Syakir tidak berhenti daripada mengekori adik angkatnya itu.
            “Awak ni nak apa sebenarnya?” Ujar Ain Fazira dengan wajah yang masam. Dia masih lagi tidak memperlahankan langkahnya menyebabkan Amirul Syakir terkial-kial untuk mengejarnya.
            “Yelah, saya nak temankan awak makan. Saya kasihan tengok awak, selalu makan sorang-sorang. Awak ni kan jenis tak mesra alam, sebab tu tak ada ramai kawan....” Kata-kata Amirul Syakir terhenti apabila mata Ain Fazira tajam merenungkan ibarat anak panah beracun.
            “Bu, bukan itu maksud sayalah!” Tergagap-gagap lelaki itu ingin menjelaskan. ‘Ishh, kenapalah aku suka sangat cakap yang bukan-bukan!’ Amirul Syakir mengeluh perlahan. Dia sebenarnya ingin menjernihkan suasana antaranya dengan wanita muda itu. Sejak daripada peristiwa tempoh hari, Ain Fazira asyik mengelakkan diri daripadanya seolah-olah dia wabak penyakit berjangkit H1NI.  Bila saja mereka berjumpa mulalah wanita muda itu mengeluarkan angin dingin dari kutub selatan.         
            “Lepaslah!!” Jeritan seorang wanita menarik perhatian mereka berdua. Ain Fazira dan Amirul Syakir lantas memandang ke hadapan di mana ramai orang berkerumun menyaksikan untuk ‘drama’ swasta terbaru.