Bab 10
“AWAK. NAK. APA?”
“Warghh?!” Amirul Syakir tersedar
dari lamunannya. Wajah Ain Fazira memenuhi ruang pandangannya, membuatkan dia
terkejut sangat-sangat, dalam bahasa kasarnya terkejut ‘beruk’.
“Hishh, awak ni tak reti bagi salam
ke? Ni main terjah orang macam gitu je. Manalah tahu kalau orang ada sakit
jantung ke, lemah semangat ke, siapa yang susah?” Leter lelaki itu sambil
mengurut-gurut dadanya.
Ain Fazira mengetap bibirnya menahan
marah. Nasib baiklah mereka berada di tempat terbuka. Kalau tidak, sudah lama
dia hadiahkan satu tumbukan percuma pada muka abang angkatnya itu. Dari
pejabat sehingga ke Suria KLCC, Amirul Syakir tidak berhenti dari mengekorinya.
Tebal mukanya menahan malu apabila orang ramai berbisik-bisik melihat kelakuan
Amirul Syakir yang terhendap-hendap mengikutnya
‘Sabar, Faz. Jangan dilayan orang
tak betul ni. Makin dilayan makin sakit hati adalah.’ Bisik hati kecilnya. Dia
berpaling lalu melangkah laju meninggalkan Amirul Syakir, sengaja membiarkan
lelaki itu bercakap seorang diri.
“Hei, Faz! Tunggulah sekejap.”
Amirul Syakir tidak berhenti daripada mengekori adik angkatnya itu.
“Awak ni nak apa sebenarnya?” Ujar
Ain Fazira dengan wajah yang masam. Dia masih lagi tidak memperlahankan
langkahnya menyebabkan Amirul Syakir terkial-kial untuk mengejarnya.
“Yelah, saya nak temankan awak
makan. Saya kasihan tengok awak, selalu makan sorang-sorang. Awak ni kan jenis
tak mesra alam, sebab tu tak ada ramai kawan....” Kata-kata Amirul Syakir
terhenti apabila mata Ain Fazira tajam merenungkan ibarat anak panah beracun.
“Bu, bukan itu maksud sayalah!”
Tergagap-gagap lelaki itu ingin menjelaskan. ‘Ishh, kenapalah aku suka sangat
cakap yang bukan-bukan!’ Amirul Syakir mengeluh perlahan. Dia sebenarnya ingin
menjernihkan suasana antaranya dengan wanita muda itu. Sejak daripada peristiwa
tempoh hari, Ain Fazira asyik mengelakkan diri daripadanya seolah-olah dia wabak
penyakit berjangkit H1NI. Bila saja
mereka berjumpa mulalah wanita muda itu mengeluarkan angin dingin dari kutub
selatan.
“Lepaslah!!” Jeritan seorang wanita
menarik perhatian mereka berdua. Ain Fazira dan Amirul Syakir lantas memandang
ke hadapan di mana ramai orang berkerumun menyaksikan untuk ‘drama’ swasta terbaru.
“Tolonglah, saya merayu. Jangan
ganggu suami saya lagi!” Ujar perempuan yang seorang lagi yang bertudung likup.
“Eh, itu bukan Shirin ke? si Dayana
tu pun ada sekali?” Ujar Amirul Syakir seorang diri.
“Hei, kau yang tak pandai suami
kenapa kau nak salahkan aku?” Mendidih hati lelaki itu apabila mendengar
kata-kata Dayana yang bongkak. Selebriti popular itu menghadiahkan senyuman
sinis kepada Shirin yang pucat lesi selepas mendengar kata-katanya.
“Kau ingat Fikri boleh maafkan kau lepas
apa yang kau buat pada dia?” Soal Dayana dengan angkuhnya. “Kau, main kayu tiga
dengan adik ipar kau sendiri! Entah-entah, anak dalam kandungan kau tu bukan
anak Fikri, tapi anak Syakir.”
Satu tamparan hinggap ke muka
Dayana. Dayana melepaskan cengkamannya lalu meraba pipinya yang kesakitan.
“Kkkau...tampar aku??!!” Dia memandang ke arah Shirin yang semakin pucat.
Wanita itu kelihatan seperti baru menyedari perbuatannya.
“Kau memang perempuan tak guna!!”
Dayana menghayunkan tangannya setinggi yang boleh agar dapat memberikan
kesakitan tahap maksima pada perempuan yang bertudung likup itu. Dia tidak
boleh membiarkan maruahnya tercalar.
Shirin yang ketakutan hanya mampu
menutup mata dan berserah kepada nasibnya.
“Hei, sakitlah!! Kau ni siapa hah?”
Shirin membuka matanya. Spontan
matanya terbeliak melihat lengan Dayana dikunci dari belakang oleh seorang
wanita muda yang berwajah cantik tetapi serius. Dia dapat mengecam wajah wanita
muda itu walaupun hanya pernah berjumpa beberapa kali.
‘Ain Fazira...’
“Siapa saya tak penting. Cik Dayana
mesti tak mahu imej cik sebagai selebriti tercalar disebabkan insiden ni, kan?
Saya cadangkan cik cepat tinggalkan tempat ni sebelum gambar cik diambil.” Ujar
Ain Fazira lalu melepaskan wanita itu.
Dayana memberikan pandangan tajam ke
arah Ain Fazira yang dibalas tanpa sebarang perasaan takut. Wanita itu kemudian
memandang Shirin yang agak takut-takut seakan memberi amaran yang perkara
tersebut belum berakhir sebelum meninggalkan tempat itu seperti lipas kudung.
“Akak tak apa-apa?” Soal Ain Fazira
kepada Shirin. Wanita itu mengeleng. Dirinya kini dipenuhi dengan perasaan
takjub dan kagum. Buat kali pertama dia bersendirian dengan Ain Fazira, anak
emas Dato’ Farid Badrul yang menjadi bualan keluarga tersebut.
***
Alunan piano
yang memainkan lagu Thousand Years yang dinyanyikan oleh Christina Perri meredakan
serba-sedikit rasa gemuruh di hati Shirin.
Ain Fazira menghulurkan air kepada
Shirin yang kelihatan terganggu dengan peristiwa tadi.
“Terima kasih,” ujar Shirin dengan
nada janggal.
“Kali pertama?” Soal Ain Fazira
pendek.
“Hem?” Shirin tidak memahami soalan
Ain Fazira.
“Ini kali pertama ke akak gaduh
dengan orang sebab akak nampak amatur sangat.” Seloroh wanita muda itu yang
tidak kedengaran lucu langsung. Makin
membuatkan Shirin semakin kekok adalah.
“Maaf,” ujar wanita yang bertudung
bawal berwarna krim itu sambil menundukkan kepalanya.
“Emm, Faz...” Ain Fazira menatap
wajah Shirin yang kelihatan pucat mungkin disebabkan tertekan dengan masalah
yang dihadapinya. Wanita yang berbaju kurung warna sedondon dengan tudungnya
kelihatan takut-takut untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Tolong jangan beritahu mummy ya.” Pinta Shirin. “Mummy pasti marah kalau dapat tahu akak
jumpa dengan Dayana.”
“Mummy
akan marah, tapi bukan sebab akak jumpa dengan Dayana. Sebabkan akak bahayakan
diri akak dan anak dalam kandungan akak.” Balas Ain Fazira tanpa berbasa-basi.
“Kalaupun akak marah atau pukul Dayana, akak rasa masalah akan selesai? Macam
mana kalau Dayana pukul akak dan akak tercedera? Kalau kandungan akak terjejas
bagaimana?”
Riak wajah bersalah Shirin
membuatkan Ain Fazira berhenti berkata-kata. Risau pula kata-katanya akan
membuatkan wanita bertudung itu tertekan dan menjejaskan lagi kandungannya.
“Akak sayangkan abang Fikri?” Soalan
Ain Fazira yang secara tiba-tiba membuatkan Shirin terkedu.
“Akak percayakan dia?” Soal wanita
muda itu lagi tanpa menunggu jawapan daripada kakak ipar angkatnya itu.
Lidah Shirin terasa kelu untuk
menjawab soalan-soalan itu. Dia sendiri tidak mengetahui jawapan untuk soalan
itu. Apatah lagi dia dan Amir Fikri berkahwin bukan dasar cinta, lebih kepada
dasar tanggungjawab.
“Perkara yang abang Fikri paling
takut adalah apabila hatinya terluka. Jadi, dia susah nak percayakan orang lain
dan susah nak maafkan orang yang dah buat salah dengan dia. Dia lebih rela
lukakan hati orang dari hatinya dilukai. Sebab tu orang selalu abang Fikri tu
ego dan pentingkan diri sendiri. A TOTAL
jerk!” Selamba sahaja Ain Fazira mengutuk abang angkatnya itu.
“Tapi saya percaya yang abang Fikri
ikhlas kahwin dengan akak. Abang Fikri tak akan ambil risiko berkahwin dengan
orang yang dia tak percaya boleh membahagiakannya. Kalau akak nak dapat kembali
kepercayaan dia, akak perlu bersabar untuk masa yang lebih lama.” Tambah wanita
muda itu lagi sebelum tersenyum kelat ke arah Shirin, cuba untuk meredakan
kesedihan wanita itu.
Perbualan mereka terhenti apabila
persembahan piano tamat. Pemain piano yang memakai dress lengan panjang
berwarna hitam menerima tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir. Wanita berkulit putih dan berhidung mancung
itu menunduk hormat di hadapan tetamu dan kemudian melangkah ke arah meja Ain Fazira
dan Shirin dengan senyuman.
“Faz!” Sophie menyapa lalu memeluk
Ain Fazira dengan mesra. “Sampai juga you
kat tempat kerja I. So, siapa ni?” Soal wanita itu ke arah
Shirin yang kelihatan terkejut mendengar ‘orang putih’ boleh bercakap bahasa
Melayu.
“Kenalkan, ni Sophie, kawan saya
yang berasal dari London. Sophie, ni Shirin, kakak ipar angkat I.” Jelas Ain Fazira.
“Aduh, complicatednya hubungan you
berdua ni.” Rungut Sophie seketika sebelum berjabat tangan dengan Shirin.
“Kalau I panggil you Shirin, you tak kisah?” Soalannya dibalas dengan gelengan
oleh Shirin. “Good! I think we’re going
to be bestfriend. Lepas ni you berdua buat apa? Jom kita pergi shopping!” Ujar wanita kacukan itu
dengan nada kanak-kanak Ribena yang tidak sesuai sekali dengan imej elegan yang
ditunjukkannya sekarang.
“Sorrylah, I kena balik pejabat.” Balas Ain Fazira, pendek. Mata wanita muda
itu tidak berganjak dari Samsung Galaxy
Notenya.
“Eh? Boringlah you ni.” Mulalah
bibir Sophie memuncung seperti ikan mas.
“Lain kalilah.” Ujar Ain Fazira
tanpa berniat untuk memujuk wanita berusia awal tiga puluhan itu.
Pandangannya beralih ke arah Shirin.
“Kak, saya dah mesej Pak San. Dia tunggu akak kat pintu utama Suria KLCC. Saya
hantar akak ke situ.”
“Baiklah.” Shirin akur tanpa
sebarang bantahan.
“Bye, Shirin. Nanti datang lagi.”
Sophie lantas mencium kedua belah pipi Shirin. Pada mulanya dia juga ingin
berbuat perkara yang sama terhadap Ain Fazira tetapi wanita muda itu sempat
menghalang dengan tangan.
Wajah Sophie yang ceria dan sentiasa
tersenyum berubah apabila Ain Fazira dan Shirin pergi daripada restoran
tersebut.
“Looks
like things are going to be very, very interesting.” Bisiknya sambil
tersenyum sinis seorang diri.
***
“Faz!”
Kelibat Amirul Syakir dari belakang
dilihat dengan malas sebelum Ain Fazira melangkah memasuki bangunan pejabat KZ
Perfumes tanpa menunggu lelaki itu.
Berkerut kening Amirul Syakir dengan
kelakuan wanita muda itu yang semakin dingin dengannya. Dia perasan yang wajah
Ain Fazira berubah ketika Shirin berbisik dengan wanita muda itu sebelum pergi
dengan Pak San.
“Faz, tunggulah!” Dia mendapatkan
Ain Fazira yang sedang menekan butang lif. Ain Fazira memandangnya dengan wajah
yang masam.
“Apa dia?” Soalnya, pendek. Nada
suaranya yang lemah membuatkan Amirul Syakir semakin ingin tahu apa yang
dikatakan oleh Shirin sebelum pergi.
“Takdelah. Saya perasan dari tadi
lagi muka awak pelik semacam. Sebelum Shirin pergi dia ada beritahu sesuatu,
kan? Apa yang dia beritahu awak?”
“Perkara yang awak tak perlu ambil
tahu.” Jawab Ain Fazira yang menumpukan pandangannya pada pintu lif. Dia
memeluk tubuhnya dengan wajah bersahaja tetapi tidak dapat menyembunyikan ribut
yang melanda di hatinya. Kata-kata yang dibisikkan oleh Shirin sebelum menaiki
kereta yang dipandu oleh Pak San bergema kembali di mindanya.
“Maaf,”
Ujar Shirin, tiba-tiba membuatkan Ain Fazira terkedu seketika.
“Em?
Maaf sebab apa?” Soal Ain Fazira. Sejak tadi lagi dia perasan yang kakak ipar
angkatnya itu suka sekali mengutarakan kata maaf. Malah untuk perkara yang
remeh dan tidak berkepentingan. Apa agaknya ‘kesilapan’ yang telah dilakukan
oleh wanita berwajah pucat itu.
“Akak
tahu yang akak tak sepatutnya cakap begini. Tapi, tapi, akak harap Faz berhenti
bercakap seolah-olah Faz sangat mengenali abang Fikri. Akak harap Faz, jangan
dekati suami akak lagi.”
Mata
Ain Fazira terbeliak kerana tidak menyangka kata-kata itu keluar dari mulut Shirin.
“Apa maksud akak?”
“Akak
tahu. Akak tahu tentang Faz dengan abang
Fikri. Dulu papa nak jodohkan Faz dengan abang Fikri, kan? Dan kamu berdua
dengan rela hati setuju cadangan papa, kan?” Jelas Shirin.
“Akak
tak tahu apa yang menyebabkan Faz dan abang Fikri tak jadi kahwin tapi akak
dapat rasakan yang kamu berdua berpisah bukan sebab tidak sehaluan, kan?”
Wanita bertudung itu menatap wajah Ain Fazira dalam-dalam, inginkan kepastian.
“Itu
semua cerita lama,”
“Gambar tu, abang Fikri masih simpan
lagi sampai sekarang.”
“Awak ni, saya sabar je tau bila
awak seorang je yang tolong Shirin. Awak kenalah beritahu saya Shirin tu macam
mana. Dia okey ke? Ada sakit kat mana-mana?”
“Hishh, awak ni kan! Kalau saya kata
tak ada apa-apa, tak ada apa-apalah!” Bentak Ain Fazira, membuatkan Amirul
Syakir terdiam. Lelaki itu memberikan pandangan terkejut bercampur takut.
Ain Fazira mengeluh berat. “Maaf,
saya tengah pening kepala ni.” Ujarnya, cuba untuk meredakan ketegangan.
“Takdelah, saya yang patut minta
maaf.” Balas Amirul Syakir yang menjadi penutup perbualan mereka.
Tidak lama kemudian, kedengaran
bunyi loceng menandakan lif telah sampai ke tingkat mereka. Sebaik sahaja pintu
lif terbuka, segalanya pergerakan seolah-olah menjadi perlahan, terlalu
perlahan. Ain Fazira membatu di hadapan pintu lif. Kehadiran seseorang di dalam
lif tersebut membuatkan tubuhnya menjadi kaku.
‘Abang Fikri.’
Ain Fazira terus-terusan memandang
Amir Fikri tanpa mempedulikan sesiapa
yang ada di situ. Malah Amir Fikri juga turut membatu, cuba untuk membaca
fikiran wanita muda itu dari matanya.
Kata-kata terakhir Shirin terngiang-ngiang
kembali di telinga Ain Fazira.
“Gambar tu, abang Fikri masih simpan
lagi sampai sekarang.”
***
p.s dari Afeena: Salam semua ^_^ !!! Pertama sekali, sorry sangat-sangat sebab dah lama tak update. Lepas habis je sem 1 terus hiatus. Feena bukan apa, tiba-tiba diserang writer block tahap kronik. Ambil masa juga untuk merangka dan menulis bab 10 ni. Stress betul memikirkan apa yang patut ditulis pada bab kali ni. Hasilnya, inilah bab terpanjang yang Feena pernah tulis.
Hasilnya, bagaimana? Terkejut tak? Macam yang Sophie cakap, hubungan antara watak dalam FYI, DTS! ni sangat complicated. Semua watak ada kaitan antara satu sama lain. Kalau dibuat peta hubungan rasanya anak panah akan bersimpang-siur. Kalau nak tahu lebih lanjut kenalah,tunggu bab seterusnya.
Bab selepas ni akan menceritakan peristiwa yang berlaku sebelum prolog terjadi. Kalau korang ingat balik, Ain Fazira dan Amirul Syakir bergaduh sehingga Amirul Syakir terpaksa menukar bajunya. Bergaduh pasal apa ya? Apa yang Ain Fazira dah buat sampai Amirul Syakir terpaksa menukar baju. Tunggu dan lihat.....
keliru skit la kisah silam dorang ni,ni buat trtunggu2 smbngnnya.. x saba nk bce next entry.
ReplyDeleteBEST...
ReplyDelete