Latar masa: Selepas Ain Fazira bersetuju untuk bertunang dengan Amirul Syakir
"HEI, perempuan! Apa sebenarnya yang kau rancang hah?!!" Syakir melampiaskan kemarahannya kepada Fazira yang bersandar di tepi kereta Honda Civic miliknya. Geram hatinya memandang wanita yang sentiasa berwajah macam tiada perasaan itu. Fazira mengunci mulutnya dan hanya memandang jauh ke tepi jalan tempat kereta itu dihentikan.
Panas
hati Syakir melihat perbuatan wanita itu yang langsung tidak mempedulikan
amarahnya. Hatinya bertambah geram apabila mengenangkan abangnya yang langsung tidak
menunjukkan rasa bersalah melibatkannya di dalam skandal tersebut dan ibunya
yang melayannya seperti orang yang bersalah.
"Kan, aku dah
cakap dengan kau. Perempuan tu memang hipokrit. Dia memang pandai ambil
kesempatan. Tapi kau kan memang suka ambil 'bekas' aku."
'Tak
guna kau Fikri! Kalau bukan sebab mummy dan Rin, dah lama dah aku buat
perhitungan dengan kau!' bentak Syakir di dalam hati. Dia kemudian berpaling
kembali ke arah wanita 'hiporkrit' itu. "Hei, kau dengar tak apa yang aku
cakap ni?!"
Fazira
mengerutkan keningnya. Dia malas mahu bertegang leher dengan Syakir yang telinga
kuali itu. Oleh sebab itulah, dia mendiamkan diri sedari tadi. Lelaki itu pun
satu, kalau mahu bergaduh pun tidak perlulah sampai berhenti di tepi jalan. "Ya, saya dengar. Sesiapa pun dapat dengar jelas bila awak menjerit
macam singa kelaparan."
"Kau
ingat aku bergurau ke? Kau ingat aku tak tahu yang kau sengaja nak ambil
kesempatan. Kau bertunang dengan aku sebab nak harta papa, kan?" tuduh
lelaki itu dengan lancangnya.
Namun
Fazira hanya sekadar mencebikkan bibirnya. "Suka-suka hati awak saja nak
tuduh saya yang bukan-bukan. Sebelum awak nak tuduh saya yang bukan-bukan baik
awak sedar sikit yang awaklah punca saya bertindak macam tu."
'Eh,
eh, perempuan ni nak salahkan aku pula?' Syakir mengenggam tangannya bagi
menahan geram. "Apasal pula?!"
"Memang
salah awak sebab masuk campur dalam urusan rumah tangga Abang Rie dan Kak Nur.
Sepatutnya awak beritahu papa dan datin supaya mereka jadi boleh orang tengah
dan selesaikan masalah Abang Rie dan Kak Nur. Tengoklah sekarang, awak dah
jadikan Kak Nur sebagai bahan fitnah orang," bebel Fazira seperti seorang
peguam yang berkaliber. Merah padam muka Syakir kerana tidak mampu untuk
melawan kata-kata wanita itu
"Hei,
kau peduli apa? Suka hati akulah nak buat apa!" bentaknya, cuba untuk
menegakkan benang yang basah.
"Yelah
tu," ujar Fazira dengan nada yang sinis. "Tapi bila kak Nur kena
serbu dengan wartawan, awak panik dan tak tahu nak buat apa, kan?"
Sekali
lagi Syakir terpana dan tidak mampu untuk membela dirinya. "Kau, kau,
dengar sini baik-baik, aku tak mungkin dan tak akan bertunang dengan kau.
Muktamad!!"
Fazira
sekadar tersenyum sinis. "Awak ingat saya kisah ke? Yang akan terkena
bahana keputusan awak tu bukan saya tapi Kak Nur. Kalau awak tak bertunang
dengan saya, maknanya awak mengiyakan awak ada hubungan sulit denga kakak ipar
awak sendiri. Pada waktu itu awak rasa siapa yang akan paling teruk dikutuk,
hem?"
"Kenapa
diam? Beritahulah saya apa yang awak nak buat sekarang, Encik Syakir?" soal
Fazira lagi dengan nada mengejek apabila melihat abang angkatnya membisu.
Syakir
mencebik bibirnya. Dia berasa geram dirinya yang sentiasa kalah dengan
perempuan itu. "Kau, kau memang jahat, Fazira! Kau jangan ingat yang kau
dah menang. Aku akan pastikan yang kau hidup menderita kalau kau berkahwin dengan
aku."
"Wah,
hebat betul awak ni, sampai terfikirkan waktu kita kahwin. Saya sarankan supaya
awak fikirkan perkara akan berlaku dalam jangka masa yang terdekat ni. Tentang
pertunangan kita yang akan berlangsung dalam jangka masa sebulan nanti."
Ujar Fazira dengan wajah bersahaja.
Syakir
menghentak kakinya sebelum bergegas memasuki kereta miliknya. Dia berniat untuk
meniru perbuatan Fazira yang meninggalkan di tepi jalan tempoh hari. 'Siaplah
kau, dahlah jalan highway ni
sunyi-sepi. Eh?!' Terkial-kial lelaki itu mencari kunci keretanya yang hilang
dari lubang kunci keretanya.
Kemudian
dia berpaling ke arah Fazira yang berdiri di hadapan kereta sambil tersenyum
sinis. Kelihatan kunci kereta di jari telunjuk kanannya wanita itu. Syakir
melepaskan jeritan kecil sambil tersandar dengan wajah yang kalah. Memang
nasibnya untuk sentiasa kalah dengan wanita itu.
FAZIRA bersandar di kerusi buaian rotan
di balkoni luar kondominiumnya. Angin malam yang sejuk membuai-buai selendang
yang menutupi kepalanya. Hatinya berasa tenang selepas melaksanakan solat
tahajud dan merafakkan doa kepada Yang Maha Esa.
Dia mengingati kembali peristiwa siang
tadi. Dia sendiri tidak tahu dari mana dia dapat kekuatan untuk beritahu di
hadapan semua wartawan yang dia dan Syakir bertunang. Setelah mendapat tahu
tentang penyakit ayah angkatnya, dia sedar hanya pertunangannya dengan Syakir
yang dapat melembutkan hati lelaki itu untuk menjalani pembedahan. Lagipun
dengan pertunangan mereka juga dapat meredakan skandal yang melanda
keluarganya.
'Sekarang
ni aku dah jadi musuh nombor satu Abang Rie dan Abang Kier. Terutamanya Abang
Kier, makin menjadi-jadi rasa benci dia dekat aku.' bisik hati kecilnya sambil
bibirnya mengukir senyuman kelat. Dia teringat akan tuduhan Syakir yang
mengatakan dia mata duitan.
Baginya, dituduh sebagai mata duitan
tidaklah seteruk mana. Dia sudah lali dengan tohmahan orang terhadap dirinya.
Semua itu telah diharungi sejak dia kecil lagi. Bukan sekali dua orang
memandang rendah akan statusnya sebagai anak angkat dan anak yatim. Pada waktu
mula-mula dia tinggal dengan keluarga Dato' Farid, ramai sanak-saudara keluarga angkatnya yang
mempersoalkan asal-usulnya. Nasib baiklah Dato' Farid dan Datin Melisa melarang
sesiapa pun untuk mengutarakan soalan itu lagi. Akhirnya tidak ada sesiapapun
yang berani bertanya lagi.
Atas dasar itulah, dia berjanji akan
lakukan apa sahaja demi keluarga angkatnya. Hatta, dengan mengorbankan jiwa dan
raganya. Dia sanggup melakukannya kalau itu dapat membantu memelihara
kehormatan dan keharmonian keluarganya. 'Lagipun...' Dia duduk sambil memeluk
lututnya. Fikirannya menerawang kembali ke perbualannya dengan Datin Melisa
siang tadi.
"Faz buat semua ni
demi papa, kan?" tebak Datin Melisa. Fazira menggangguk kepalanya
perlahan. "Kamu yakin dengan keputusan kamu ni?"
"Kalau saya tak yakin, saya tak akan buat pengumuman di hadapan
wartawan-wartawan. Saya dah fikir semasak-masaknya," balas Fazira dengan
wajah yang tenang.
Datin Melisa lega mendengar jawapan anak angkatnya. Sekurang-kurangnya
bolehlah dia bergantung harap kepada wanita itu. Kenapalah Fikri dan Syakir
tidak setabah dan sematang Fazira? Pening kepalanya memikirkan persengketaan
kedua-dua anak lelakinya itu.
"Faz percaya tak
dengan skandal ni?" soal Datin Melisa. Kata hatinya menidakkan kenyataan
yang anak lelaki sulungnya itu mempunyai hubungan sulit dengan Dayana yang
merupakan duta produk minyak wangi mereka. Apatah lagi dengan kisah tentang
anak keduanya dengan Shirin. Dia yakin sebenci-benci Syakir terhadap Fikri,
anaknya itu tidak akan sekali-kali merosakkan rumah tangga abangnya.
"Saya percaya yang
Abang Rie bukan jenis lelaki yang mempermainkan maruah seorang wanita," balas
Fazira. "Tapi saya rasa mungkin Abang Rie salah faham tentang Abang Kier
dengan Kak Nur sebab tu dia memberontak dan balas dendam dengan cara begini."
"Mungkin
juga..." Wanita itu mendiamkan diri buat seketika. "Kelakuan Abang
Rie berpunca dari saya," ujarnya dengan nada yang bersalah.
"Kenapa pula?
Sebab Faz bantu memastikan perkahwinan Rie dan Nur berlangsung?" tebak
Datin Melisa. Fazira menundukkan wajahnya, tidak sanggup berhadapan dengan ibu
angkatnya itu.
"Faz tak salah.
Perkahwinan Rie dengan Nur bukan hanya untuk menjaga maruah keluarga, tapi demi
anak yang dikandung Nur pada waktu itu. Jangan sesekali Faz salahkan diri Faz
tentang peristiwa tiga tahun lalu!" ujar Datin Melisa, memihak kepada anak
angkatnya.
Walaupun dia kelihatan seperti bersikap dingin terhadap Fazira tetapi
dia sangat mengambil berat tentang anak angkatnya itu. Dia tahu yang wanita itu
telah banyak berkorban demi keluarga mereka. Cuma orang lain sahaja tidak tahu.
"Terima kasih,
datin," jawab Fazira.
"Saya yang sepatutnya
ucapkan terima kasih," ujar Datin Melisa. "Sebab itulah, saya dah
buat perancangan...."
"Perancangan?
Perancangan apa?" soal Fazira.
"Sebenarnya saya
tak mahu pisang berbuah dua kali. Saya tak nak anak-anak saya kahwin dalam
keadaan terpaksa lagi. Faz akan bertunang Kier, tapi Faz tak semestinya kahwin
dengan dia," jawab Datin Melisa.
"Maksud
datin?" soal Fazira lagi, kurang mengerti dengan maksud di sebalik
kata-kata ibu angkatnya.
"Selepas
pertunangan kamu, saya akan cuba pujuk dato' untuk jalani pembedahan itu. Kalau
dato' setuju untuk jalani pembedahan itu dan selepas skandal ni reda, Faz bebas
untuk buat keputusan sama ada nak teruskan pertunangan ni atau tidak. Apa pun
keputusan Faz, saya akan sokong sepenuhnya."
Jaminan
yang diberikan oleh ibu angkatnya itu membuatkan Fazira berasa lega.
Sejujurnya, walaupun dia tidak percaya dengan perkahwinan atas dasar cinta
tetapi dia juga tidak sanggup untuk berkahwin dengan lelaki yang membencinya.
Dia tidak mahu menghabiskan hidupnya dalam perkahwinan yang tidak bahagia.
Jadi perkara penting
yang harus dia lakukan sekarang ialah pastikan yang ayah angkatnya menjalani
pembedahan secepat mungkin dan menyiasat kebenaran di sebalik skandal Fikri dan
Dayana.
'Ya Allah, ya
Tuhanku, Kau berkuasa mentadbir seluruh alam. Kau lindungilah keluarga angkatku
daripada segala bencana dan fitnah dunia. Kau hilangkanlah salah faham di
antara Abang Fikri dengan Abang Syakir dan Kau jernihkanlah hubungan mereka.
Kau kurniakanlah kesihatan kepada ahli keluargaku terutamanya ibu bapa angkatku
dan kakak iparku. Kau kurniakanlah kekuatan kepada Kak Nur agar dapat
melahirkan anaknya dalam keadaan sihat dan sempurna. Hanya Engkaulah tempat
hambamu ini memohon pertolongan. Amin, Amin, Ya Rabbal Alamin.” Tutur Fazira
dengan penuh pengharapan. Hanya Tuhanlah tempat dia mengadu segala kesukaran
dan hanya kepadanya dia memohon diberikan kekuatan untuk mengharungi segala
dugaan.
Nota Feena:
Salam, semua!
Seperti yang dijanjikan, Feena postkan bab terakhir untuk FYI, DTS! Yang selebihnya, kenalah tunggu novel keluar, Insyallah! Feena pun masih tertunggu-tunggu jawapan daripada pihak penerbit. Harap-haraplah manuskrip Feena diterima, amin!
Lepas ni Feena akan mulakan misi menyambung semula cerita Jilid Cinta. Haha, dah lama betul ditinggalkan semata-mata untuk FYI, DTS!
Okey, semua! Semoga jumpa lagi di masa akan datang!
Luv you all!
nie cerita dah emng gk lgi diunggah ye....pgen tw cerita selanjuty...best sangat....unggah donkk
ReplyDeleteSorry Yuli tapi Feena tak dapat nak post banyak2 sbb takut ada org ciplak cerita ni. Apa kata baca WANTED: My Runaway Bride pula hehe...
Delete