Wednesday 12 June 2013

FYI, Dia Tunang Saya Bab 2

Bab 2

Langkah Amirul Syakir terhenti di pintu wad. Dia cuba untuk mengingati nama wanita yang diselamatkannya tadi.

Semasa perjalanan ke hospital, salah seorang daripada wanita tersebut telah sedarkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Disebabkan itu, dia memberi sepenuh kepercayaan kepada wanita mat saleh yang fasih berbahasa Melayu itu untuk menguruskan rakannya. Pada waktu itu, fikirannya hanya tertumpu kepada keadaan Shirin sahaja.

Excuse me, excuse me!

        Belum sempat untuk dia berbuat apa-apa, tubuhnya ditolak oleh seseorang yang keluar dari pintu wad tersebut.

            “Opps, sorry!” Ujar wanita tersebut menghulurkan tangan untuk membantunya berdiri tetapi dia menolak. Tak elok pegang tangan perempuan sebarangan. Dia berusaha untuk bangun sendiri.

            “Oh, you! That Remy Ishak guys!” Tiba-tiba jari wanita itu ditudingkan ke mukannya.

            Amirul Syakir mengerutkan keningnya lalu mengamati wanita itu. “Ah, cik ni Sophie, kan?” Dia mengetahui nama wanita itu semasa mereka dalam perjalanan ke hospital tadi. Mereka sempat berbual dan dia telah menjelaskan perkara sebenar kepada Sophie.

            “Kawan cik macam mana? Dia dah sedar tak?” Soal Amirul Syakir.
            
           “Belum. Hah! Sementara you ada di sini boleh tak you tolong jagakan dia? I need to go to loo.” Ujar Sophie yang kelihatan seperti cacing kepanasan. “Katil dia terletak di hujung sekali. Thanks!”

          Amirul Syakir sekadar menghantar kelibat Sophie yang menghilang dengan pantas dengan ekor matanya. Dia mengaru kepalanya yang tidak gatal lalu memasuki wad pesakit tersebut.


           Langkahnya menuju ke katil yang paling hujung. Wajah wanita yang berambut ikal mayang itu diamati. Dahi kirinya ditampal dengan kapas dan plaster. Wanita itu mengerutkan wajahnya seperti sedang mengalami mimpi yang buruk.

            “Ibu!!” Tiba-tiba sahaja wanita itu tersedar dengan mata yang terbeliak. Dia melihat wanita itu meletakkan tanggan di dada kirinya seolah-olah sedang memeriksa degupan jantungnya. Kemudian wanita itu ingin mencapai tas tangannya yang terletak di meja berdekatan katil tetapi tidak berdaya untuk bangun.

            Amirul Syakir segera mengambil tas tangan tersebut sebelum menghulurkannya kepada wanita itu. “Awak nak ini, kan?” Soalnya sambil memandang wanita itu. Pandangan mereka bertemu buat beberapa detik.

***

Angin bertiup lembut menyapanya dalam diam. Dia terasa seperti berada di pangkuan seseorang. Haruman bunga kemboja dan bunga mawar membuatkan dia terasa nyaman dan tenang. 

“Ain...”

Kelopak matanya terbuka apabila suara yang amat dikenalinya itu menjengah ke telinganya. Kepalanya didongakkan ke atas di mana dia dapat melihat wajah yang selama ini dirindui.

“Ibu...” Air matanya mengalir deras. Wajah ibu masih sama, penuh dengan kelembutan dan kasih sayang. Tangan ibu mengusap-usap kepalanya yang berbaring di ribaan ibu.

 “Ibu...” Hanya itu sahaja perkataan yang terucap di bibirnya. Dia tidak mampu untuk mengucapkan kata-kata yang dapat mengambarkan kerinduannya terhadap ibu.

“Ain, hanya apabila kita belajar memaafkan dan melepaskan barulah hati kita akan mendapat ketenangan yang abadi...” Ujar ibu. Air matanya diseka lalu dahinya dikucup lembut.

Kemudian wajah ibu semakin menghilang bak cahaya lampu yang semakin malap. Dia tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Semakin lama persekitarannya semakin gelap dan gelap seolah-olah dia berada di dalam sebuah ruang tidak berpenghujung.

“Ibu!”

Ain Fazira tersedar dari mimpinya. Matanya melilau ke kiri dan kanan, meneliti persekitarannya yang serba putih dengan katil-katil berserta orang-orang yang turut berpakaian serba putih. Setelah diamati dengan teliti, dia mengagak bahawa dia berada di hospital.

Ain Fazira meletakkan tangan ke dada kirinya. Degupan jantungnya dirasakan deras, sesuatu yang perlu dia elakkan. Sekali lagi matanya melilau, kini mencari tas tangannya. Pencariannya terhenti pada meja yang terletak berdekatan dengan katilnya di mana tas tangan itu berada. Dia cuba mencapai tas tangan itu tetapi tangannya yang masih lemah tidak mampu untuk mengambilnya.

Tiba-tiba satu susuk tubuh lelaki menghampiri meja tersebut lalu mengambil tas tangannya. Lelaki itu kemudian berpaling ke arahnya lalu menghulurkan tas tangan tersebut kepadanya.

“Awak nak ini, kan?” Soal lelaki itu yang dalam menyebabkan pandangannya tertumpu kepada lelaki yang berkulit sawo matang itu. Buat seketika pandangan mereka bertemu sebelum masing-masing berpaling ke arah yang berlainan.

            Ain Fazira segera menyelongkar tas tangan tersebut lalu mengambil bungkasan kain organza berwarna ungu dan bersaiz tapak tangan yang dihias cantik. Bungkusan berisi bunga kering yang berbau harum itu dihidu dan dihembus. Perlakuan itu dilakukan beberapa kali sehinggalah degupan jantungnya kembali stabil.

            Setelah selesai, Ain Fazira memalingkan wajahnya kepada Amirul Syakir yang sedang berkerut, mungkin berasa pelik dengan kelakuannya. Dia sudah biasa dengan reaksi orang apabila dia menghidu bungkusan bunga kering itu jika jantungnya berdegup laju.

            “Bunga dalam bungkusan ini bukan bunga popi, encik...” Ujar Ain Fazira, merujuk kepada tumbuhan yang menjadi bahan membuat ganja. Selalu juga orang menyangka dia menghidu bunga popi padahal dia hanya menggunakan bunga kering biasa. Dia menghulurkan bungkusan itu kepada Amirul Syakir, menyuruh lelaki itu menghidu haruman bunga kering tersebut. Aroma yang menenangkan menusuk ke hidung lelaki itu.

            “..tapi bunga lavender. Haruman lavender boleh tenangkan fikiran dan hilangkan keletihan,” jelasnya  yang mengundang rasa malu di wajah Amirul Syakir.

            “Maafkan saya sebab fikir benda yang bukan-bukan.” Amirul Syakir mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sebenarnya dia tidak terfikir pun yang bungkusan itu mengandungi bunga popi. Dia cuma berasa pelik dengan kelakuan wanita yang baru dikenali itu.

            “Encik ni orang yang selamatkan saya dengan kawan saya, kan?” Soal Ain Fazira sambil menyandarkan tubuhnya pada kepala katil. Kalau tidak, masakan orang yang tidak dikenali itu sanggup menunggunya sehingga dia sedar.

            Amirul Syakir mengangguk perlahan. “Saya juga kawan kepada perempuan yang hampir dilanggar itu.”

            “Ah, bagaiamana dengan keadaan dia?” Baru sekarang Ain Fazira teringat tentang perempuan yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah jalan semasa dia tengah memandu. “Dia tak apa-apa? Dia tak tercedera, kan?” Soalnya, risau walaupun nada suaranya yang tenang tidak dapat mengambarkan perasaannya.

            “Jangan risau.” Amirul Syakir memberikan jaminan. “Dia tak apa-apa. Macam yang saya cakap tadi, dia tak kena langgar pun. Dia cuma keletihan sahaja.”

            “Maafkan saya, encik.  Saya sepatutnya berhati-hati dalam memandu.”

       “Eh, tak lah. Sebenarnya...” Amirul Syakir teragak-agak untuk memberitahu perkara sebenar. “Sebenarnya, kawan saya, sengaja lari ke tengah jalan.”

            “Oh?” Ain Fazira dapat merasakan lelaki itu menyimpan rahsia daripadanya.

            “Dia hadapi banyak masalah sampai mengalami kemurungan. Saya pun turut bersalah dalam hal ini kerana saya bergaduh dengan dia sehingga dia nekad lari ke tengah jalan.”

            Ain Fazira mengangguk perlahan tanda memahami penjelasan Amirul Syakir. Namun dia mengagak lelaki itu hanya menyampaikan separuh sahaja daripada cerita yang sebenar berdasarkan pada wajah lelaki itu yang berserabut.
            
             Amirul Syakir meraup wajahnya. “Saya dah tak tahu untuk berbuat apa-apa...” Keluhnya.

         Ain Fazira sekadar tersenyum kelat. Dia pasti lelaki ini mesti tengah dilanda dengan masalah besar sehingga sanggup mengadu di hadapan orang asing sepertinya. Namun dia rasa tidak senang dengan kelakuan lelaki itu yang seperti menyalahkan takdir.

“Encik, kalau kita tak ditimpa masalah, kita tak akan faham erti syukur. Bersyukur dengan apa yang kita ada. Kehidupan kita. Nyawa kita. Setiap helaan nafas yang dihirup adalah belas ihsan dan rahmat daripada-Nya. Jadi, encik jangan mengeluh. Bersabarlah dan Insyallah, esok akan menjadi lebih baik dari hari ini sebagaimana hari ini menjadi lebih baik dari semalam.”

            Nasihat Ain Fazira ibarat satu tamparan hinggap ke muka Amirul Syakir. Dia beristighfar banyak kali, menyesali kekhilafannya yang menyalahkan takdir.

            “Terima kasih, awak dah banyak menyedarkan saya.” Ujar Amirul Syakir.

            “Tak adalah. Saya cuma tak suka orang cepat berputus asa dan suka salahkan takdir. Bersyukurlah kita masih dapat hidup, jangan sampai apabila nikmat itu ditarik balik baru nak menyesal.” Sekali lagi Ain Fazira memberikan mukadimah. Entah mengapa hari ini ringan pula mulutnya berbicara. Mungkin disebabkan mimpi yang dialaminya tadi mengingatkannya akan sesuatu yang tidak akan dimilikinya lagi.

            Amirul Syakir mengangguk perlahan. “Saya rasa saya kena pergi dululah. Saya nak jenguk kawan saya.”

            “Terima kasih, encik..?” Ain Fazira merenung Amirul Syakir. Lama mereka berbual tetapi tidak terfikir pula untuk bertanya nama.

            “Amirul Syakir tapi panggil Syakir, je. Awak pula?”

           Ain Fazira terdiam, tidak tahu kenapa lidahnya teragak-agak untuk memberitahu namanya. “A, Ain...”

            “Ain..?” Amirul Syakir mengerutkan keningnya.

            “Hanya Ain.” Ain Fazira menguntumkan senyuman tersirat. Terasa aneh memperkenalkan diri dengan nama yang sudah lama tidak digunakan.

            “Baiklah saya pergi dulu.”

            “Ah, Encik Syakir.” Ain Fazira mengeluarkan sebungkus lagi bungkusan bunga lavender kering. “Bungkusan lavender ini letak bawah bantal ataupun dekat tepi meja kawan encik agak fikiran dia tenang.”

            “Terima kasih.” Amirul Syakir mengambil barang-barang tersebut tanpa sebarang bantahan

            “Sama-sama.” Jawab Ain Fazira.

            Mereka berbalas senyuman sebelum Amirul Syakir meninggalkan wad tersebut.

***

Amirul Syakir duduk, menopang dagunya. Matanya tidak lepas memandang Shirin yang masih tidak sedarkan diri di katil pesakit. Wajah wanita itu bersih daripada perasaan sedih yang menyelubungi wanita itu beberapa hari ini.

            “Encik bernasib baik kerana kandungan Puan Shirin tidak terjejas...”

            Kata-kata doktor tersebut menambahkan lagi kekusutan di fikiran Amirul Syakir. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan Shirin dan anak dalam kandungannya.       

            Amirul Syakir kembali memandang Shirin. Rasa bersalah menyelubungi dirinya. Dia tahu sedikit sebanyak masalah Shirin adalah berpunca darinya.

Hatinya menjadi panas mengenangkan Amir Fikri. Lelaki yang menjadi musuhnya sejak dari kecil lagi.  Lelaki itu memang tidak senang jika dia gembira. Dia tahu Amir Fikri sengaja menyakti hati Shirin kerana dengan cara itu hatinya akan turut terasa pedih. Kerana bagi dia, Shirin adalah segala-galanya.

            Tidak mahu memikirkan lagi masalah yang tidak berpenghujung itu, Amirul Syakir mengambil bungkusan bunga lavender kering yang diletakkan di tepi meja berdekatan katil Shirin. Bungkusan yang dihias cantik itu didekatkan ke hidungnya lalu dihidu. Haruman lavender menenangkan fikirannya yang sedang kusut.  

            “Ain...” Ringan sahaja mulutnya menyebut nama perempuan itu. Serentak, senyumannya melebar.

            ‘Ishh, tengah-tengah dalam masalah ni, boleh pula aku fikir pasal perempuan pula. Tapi...Ain, sedap nama itu...sesuai dengan tuan punya nama itu...’

“Syakir?” Suara yang memanggil namanya membuatkan dia tersedar dari lamunan.

            “Kak Syida?” Berkerut wajah Amirul Syakir apabila melihat Syida menghampirinya dengan wajah tertanya-tanya.

            “Kak Syida buat apa dekat sini? Bukan klinik akak dekat Bangsar ke?”

            “Uh, umm, akak datang jenguk kawan akak. Dia kemalangan kereta. Nasib baik tak ada apa-apa.” Ujar Syida teragak-agak, seakan-akan menyembunyikan sesuatu. “Lepas tu, akak jumpa dengan kawan doktor akak dekat wad pakar sakit puan, dia kenal Syakir, tu yang dia beritahu akak, Syakir ada dekat sini.” Jelas Syida sambil memandang Shirin yang masih nyenyak tidur.

            “Fikri tak datang?” Soal Syida.

Amirul Syakir mengeleng perlahan, tidak berniat untuk menjelaskan dengan lebih lanjut . Lagipun, wanita yang menjadi doktor peribadi keluarganya itu tahu serba-sedikit tentang masalah keluarganya.

            “Akak, tolong jangan beritahu papa. Akak tahukan keadaan papa macam mana. Syakir takut nanti dia sakit lagi.” Pinta Amirul Syakir.

            Syida mengangguk, mengerti. “Akak tahu, akak tak akan beritahu Dato’.”

            “Syakir, akak pergi dulu. Akak nak hantar kawan akak balik. Kalau ada apa-apa masalah, beritahu akak.”

            “Nak Syakir tolong hantarkan?”

         “Ta,tak payah.” Syida menyembunyikan rasa gementarnya melalui senyumannya. “Akak datang dengan suami akak. Akak pergi dulu. Assalamualaikum.”

          
            “Waalaikummussalam.” Jawab Amirul Syakir, terpinga-pinga melihat Syida tergesa-gesa pergi.

***
Nota Feena: Salam, ini pula sambungan FYI, Dia Tunang Saya! Akhirnya Ain Fazira dan Amirul Syakir bertemu juga. Amirul nampaknya mula tertarik dengan Ain Fazira, hehehe.
http://matcuoi.com
Tapi apa agaknya yang akan menyebabkan mereka membenci satu sama lain semasa prolog cerita ini? http://matcuoi.com Kalau nak tahu, kenalah ikuti sambungan cerita ini! Oklah sampai di sini sahaja
Luv U all!http://matcuoi.com

No comments:

Post a Comment