Tuesday 17 September 2013

FYI, Dia Tunang Saya 4

Bab 4
Abang Luqman, dah lama tak jumpa,” ujar Ain Fazira, menyembunyikan rasa gemuruhnya dengan senyuman. Dia mengagahkan matanya untuk memandang lelaki yang amat dikenalinya. Luqman sudah banyak berubah. Selain berkaca mata dan berpenampilan sesuai dengan profesionnya sebagai seorang peguam, pandangan lelaki itu kelihatan dingin dan serius.
            “Emm,” pendek sahaja jawapan Luqman, membuatkan Ain Fazira berasa semakin gemuruh. Dia sendiri tidak tahu betapa deras jantungnya berdegup saat ini. Dia tidak sangka yang dia akan bertemu dengan Luqman secepat ini dan di tempat ini, di hadapan kuburan Ana Syakila.
            “Faz hari ni kita akan lunch dengan Luqman. Papa nak Faz naik kereta papa. Kita boleh berbual dalam perjalanan ke restoran.” Ujar Dato’ Farid Badrul dengan mesra, berlawanan sekali dengan suasana persekitaran mereka yang sedingin salju.
            Ain Fazira terkejut mendengar permintaan ayah angkatnya yang di luar dugaannya. Dia tidak tahu untuk berkata apa-apa. “Ttaapi, kereta saya...”
            “Driver papa kan ada. Biar dia bawa kereta Faz dan ikut kita pergi restoran tu. Kereta papa, Luqman boleh bawa.”
Mahu tidak mahu, Ain Fazira terpaksa juga mengikut kehendak ayah angkatnya itu. Keadaan menjadi semakin kekok kerana dia disuruh duduk di bahagian hadapan. Matanya hanya tertumpu kepada jalan raya bertar sahaja. Yang lebih teruk, mulutnya seakan terkunci.

            “Faz, dah jenguk ummi?” Soal Dato’ Farid Badrul, cuba untuk mengubah suasana yang tegang.
            Ain Fazira berpaling untuk menjawab soalan ayah angkatnya. Dia hanya dapat melihat wajah Luqman sipi-sipi sahaja tetapi jantung sudah berdegup deras. “Dah... kemarin lepas Faz dengan kawan Faz masuk hospital, Kak Syida bawa kami pergi rumah Rantaian Qaseh. Ummi risau sangat bila dapat tahu Faz kemalangan. Jadi Faz dengan kawan Faz bermalam dekat situ sampai ummi puas hati.”
            “Macam mana kemalangan tu boleh berlaku?” Celah Luqman tiba-tiba.
            Ain Fazira berpaling ke arah lelaki itu kerana terlalu terkejut. Namun Luqman hanya menumpukan pandangannya pada jalan. Tidak nampak riak ambil berat pada wajah lelaki itu.
            “Err, waktu saya tengah memandu tiba-tiba sahaja ada seorang perempuan berlari melintas jalan. Nasib baik saya sempat mengelak...”
            “Cedera tak?” Soal Luqman, pendek dan tidak berperasaan.
            “Sikit je. Kawan saya pun tak apa...”
            “Perempuan tu pula macam mana?”
            “Dia tak apa-apa cuma sebab dia mengandung jadi dia ditahan di wad. Saya dengar dari kawan dia, dia tak mengalami sebarang luka pun.”
            “Ka...”
            “Tanyalah soalan satu-satu, Luqman. Ni papa tengok dah macam sesi soal jawab dekat mahkamah pula. Relaks, kamu bukannya bekerja hari ni.” Sampuk Dato’ Farid Badrul menghentikan pertanyaan Luqman. Dalam diam, Ain Fazira menarik nafas lega. Rasa tak cukup nafas menjawab soalan Luqman yang bertubi-tubi itu.
            Tiba-tiba Ain Fazira teringat tentang kawan kepada perempuan yang hampir dilanggarnya. Oleh kerana dia daftar keluar dari hospital malam itu juga, dia tidak sempat untuk meminta telefon lelaki itu. Sekurang-kurangnya dapatlah dia mengetahui perkembangan perempua itu.
            ‘Kalau tidak silap, nama dia Amirul Syakir. Macam pernah dengar tapi dekat mana ya?”
            Deringan lagu Pachelbel Canon in D memecah kesunyian. Ain Fazira lekas-lekas mengambil telefon bimbitnya di dalam beg tangannya.
            “Hello, Sophie... Apa?!

***

Dari kejauhan, kelihatan Sophie yang sedang mengejar Ain Fazira yang melangkah laju meninggalkan perkarangan balai polis tersebut. Wajah Ain Fazira serius tanpa secalit senyuman membuatkan sesiapa yang memandang akan mengigil ketakutan.
            “Faz!” Sempat juga Sophie mengejar rakan baiknya itu. Ain Fazira berhenti berjalan lalu memeluk tubuhnya, bersedia untuk mendengar penjelasan wanita yang berambut perang itu. “Are you angry?
            Ain Fazira mengetap bibirnya. Darahnya menyirap apabila mendengar pertanyaan Sophie yang seperti tidak sedar dengan kesalahan sendiri. “Tak. I memang ‘suka’ sangat kena pergi balai polis. Rasa ‘seronok’ sangat sebab kena berurusan dengan polis!”
            “Hah, baguslah tu!” Ujar Sophie dengan wajah tidak bersalah.
            Wajah Ain Fazira kembali serius dan kini anak matanya tajam memandang Sophie. Ini membuatkan Sophie berhenti tersenyum dan membuang sikap nakalnya. Wanita itu tahu kemarahan Ain Fazira ibarat letusan gunung berapi yang merbahaya.
            “Faz, sorry. Bukan I nak jadi macam ni. I cuma nak tolong the poor old lady yang kena...what do they call it? Hah, ragut! You patut tengok waktu I baling kasut I dekat ‘pragut’ tu. Habis berdarah kepala...” Cara Sophie bercerita yang boleh disamakan seperti tukang karang membuatkan darah Ain Fazira semakin mendidih. Rakan baiknya itu tidak pernah sekali pun bersikap serius dan suka ambil mudah jika berlaku masalah. Dan siapa lagi yang akan menyelesaikan masalah itu kalau bukan dirinya.
            Sophie perasan dengan perubahan wajah Ain Fazira yang semakin serius. Otaknya ligat memikirkan cara untuk meredakan kemarahan gadis yang berambut ikal itu. “Okay, kalau you masih marahkan I...” Dia mendekatkan kepalanya. “...pukullah I sampai you puas hati. Tapi... jangan pukul wajah I, nanti dah tak cantik, jatuh pula ‘share’ I.”
            Ain Fazira mengeluh perlahan. Perasaannya kini bercampur dengan rasa lucu dan geram. Lucu mendengar cadangan Sophie yang tidak masuk akal dan geram memikirkan dirinya yang asyik kalah dengan pujukan rakan baiknya itu.
            “Dah, jom balik.” Ujarnya lalu memasuki perut kereta. Dia malas mahu memanjangkan cerita.
            “Faz, kenapa ni? Ada sesuatu dah berlaku waktu you jumpa Dato’?”
            “I jumpa abang Luqman tadi dengan papa.”
            “Luqman?! You mean that volunteer guy? Yang selalu datang dekat rumah anak yatim you tu, a.k.a tunang kepada Ana Syakila yang...” Sophie menutup mulutnya agar tidak terlepas cakap.
            Ain Fazira mengangguk pendek.
            “So? Apa yang merunsingkan you sekarang?”
            “Tak ada apa-apa. Cuma I terfikir yang, manusia ni boleh berubah dalam sekelip mata.” Jawab Ain Fazira, tidak mahu berterus-terang. Dia terkenang kembali sikap Luqman yang dingin dan lokek dengan senyuman. Tidak sama langsung dengan Luqman yang dikenalinya lapan tahun yang lalu. Nampaknya kehilangan arwah Ana Syakila telah merobek hati lelaki itu terlalu dalam. Saat ini, dia rasa sangat berdosa kepada lelaki itu. Apakah dia dapat menebus kesilapannya?
            ‘Sudah, Ain Fazira. Jangan fikir lagi. Isnin nanti kau akan hadapi banyak lagi cubaan baru. Tinggalkan dulu masalah abang Luqman ni,” bisik hati kecilnya.

***

Dengar kata, ketua baru jabatan R&D mula kerja hari ni.”
            “A’ah. Aku dengar dia belajar selama tiga tahun di institut minyak wangi yang ternama di Perancis. Lepas tu dia kerja dengan Syarikat Lourve Scent, salah satu jenama minyak wangi antarabangsa di London!.
            “Lagi satu, aku dengar yang dia tu anak angkat Dato’ Farid Badrul, pemilik syarikat kita.”
            Pakk!!
Bunyi buku tebal dihembap ke meja mengejutkan pekerja-pekerja KZ Perfumes bahagian Pemasaran dan Jualan yang sedang asyik bergosip.
            “Opocooot, mak kau! Eh, mak aku, eh, eh, Encik Syakir...”
Pekerja-pekerja tersebut berdiri sambil menundukkan kepala di hadapan Amirul Syakir yang sudah bercekak pinggang. Masing-masing tidak berani mahu bertentang mata dengan pengurus mereka yang kalau marah, macam singa kelaparan.
“Kamu bertiga!” Amirul Syakir menudingkan jarinya kepada tiga orang pekerja bawahannya yang ditangkap bergosip sambil makan di pejabat. “Oh, mentang-mentanglah saya tak datang kerja beberapa hari, awak semua dah naik lemak ya!”
“Tak, tak adalah, Encik Syakir. Kami cuma nak tahu je pasal ketua baru jabatan R&D.”
            “Yang sibuk sangat kenapa? Bukannya ada kena-mengena dengan jabatan kita. Kamu bertiga buat laporan tentang pemasaran syarikat, saya nak hantar hari in juga.”
            “Baiklah, Encik Syakir.” Jawab pekerja-pekerja wanita tersebut dengan lemah-longlai.
            Amirul Syakir melihat jam tangannya. Masa untuk mesyuarat sudah hampir tiba. Dia melangkah untuk menuju ke bilik mesyuarat. Namun telinga capangnya sempat juga mendengar bisikan orang bawahannya.
            “Ni mesti kes naik angin sebab anak angkat Dato’ Farid dah balik. Yalah, Encik Syakir sekeluargakan tak suka dengan anak angkat Dato’.”
            “Sebelum terlupa...” Amirul Syakir berpaling dan menatap tajam ke arah mereka bertiga. “Bagi saya seratus sebab munasabah kenapa saya tak perlu potong gaji kamu bertiga.”
            “Ala, Encik Syakir!!”

Amirul Syakir melangkah masuk ke bilik mesyuarat dengan hati yang panas. Pertama, kerana Amir Fikri belum pulang mahupun membalas panggilannya. Kedua, kerana tindakan ayahnya melantik ‘orang’ itu sebagai ketua baru jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
            Amirul Syakir sendiri tidak faham kenapa ayahnya begitu tega untuk meletakkan seseorang yang masih mudah dan mentah untuk memegang posisi yang penting itu. Apatah lagi kepada ‘orang’ itu. ‘Orang’ yang paling tidak disukai oleh ahli keluarganya terutamanya dia.
            ‘Baik, biar aku tengok siapa sebenarnya ‘Ain Fazira’ yang papa bangga-banggakan sangat tu!’ Bisik hatinya saat dia duduk di kerusinya.
            Tidak lama kemudian, Dato’ Farid Badrul bersama ahli lembaga pengarah yang lain masuk ke dalam bilik mesyuarat tersebut. Seperti biasa Dato’ Farid Badrul sebagai pengerusi memulakan mesyuarat tersebut.
            “Baiklah, saya mulakan mesyuarat kita dengan memperkenalkan ketua baru jabatan penyelidikan dan pembangunan, Cik Ain Fazira Binti Nordin.”
            Di saat ‘orang’ itu masuk ke dalam bilik mesyuarat, mata Amirul Syakir seakan tidak percaya. Di saat mata mereka berdua bertentang, ‘orang’ itu turut menunjukkan riak wajah terperanjat. Hanya sebutir kata sahaja yang terkeluar dari bibirnya. “Ain.”


***

p/s: Jeng, jeng, jeng. Hehe, akhirnya Amirul Syakir dan Ain Fazira berjumpa juga.Terkejut Amirul Syakir bila dapat tahu yang 'Ain' yang dia selamatkan hari itu adalah anak angkat Dato' Farid Badrul yang amat dibencinya.http://matcuoi.com Tapi kenapa ek dia benci sangat dekat Ain Fazira? Ini semua ada kena-mengena dengan arwah Ana Syakila, anak Dato' Farid Badrul a.k.a. kakak kepada Amirul Syakir dan tunang Luqman. Tapi apa kaitannya Ain Fazira dengan arwah Ana ek? 
Kalau nak tahu tunggu sambungannya. Salam, semua. Luv U All!!http://matcuoi.com

4 comments: