Thursday 3 October 2013

FYI, Dia Tunang Saya 5

Bab 5
Ain Fazira menghenyakkan tubuhnya ke kerusi. Senyuman di bibirnya mengendur serta-merta selepas Dato’ Farid Badrul keluar dari bilik pejabatnya.
         “Kenapa dalam ramai-ramai orang, orang yang selamatkan aku adalah abang Syakir?” Getus hatinya.
        Ain Fazira memegang kepalanya yang sedang kusut. Dia teringat kembali renungan tajam Amirul Syakir sewaktu di bilik mesyuarat tadi. Pasti lelaki itu menyangka dia telah menipu lelaki itu.
          Tiba-tiba Amirul Syakir muncul di hadapan pintu bilik tanpa sebarang amaran. Ain Fazira memandang lelaki itu tanpa sebarang kata. Lelaki itu merenungnya seperti ingin ditelannya hidup-hidup.
“Ikut saya sekarang.” Ujar Amirul Syakir yang kedengaran seperti satu arahan yang wajib dipatuhi.
           Ain Fazira menurut sahaja tanpa sebarang bicara. Risau akan berlaku kekecohan jika dia membantah.
            Amirul Syakir membawa Ain Fazira ke bahagian bumbung bangunan tersebut yang dijadikan taman untuk pekerja KZ Perfumes berehat pada waktu senggang. Amirul Syakir berdiri di hadapan beranda bumbung tersebut lalu melonggarkan ikatan tali lehernya. Dia menarik nafas panjang sebelum berpaling ke arah Ain Fazira.
            “Apa semua ni, Aii...” Kata-kata Amirul Syakir terhenti seketika. Dia tidak sanggup mahu menyebut nama itu. Baginya, ‘Ain’ merupakan seorang gadis yang sopan dan menyenangkan. Berbeza sekali dengan bayangannya terhadap ‘Ain Fazira’ yang dijadikan anak angkat oleh ayahnya. Dia tidak menyangka bahawa ‘Ain’ yang dia kenali malam itu dan ‘Ain Fazira’ yang dibencinya selama tujuh tahun merupakan orang yang sama.
            “Kawan awak dah okey ke?” Soal Ain Fazira dengan bersahaja. Pertanyaannya membuang suasana tegang yang menyelubunginya dan Amirul Syakir.
            “Ah, dah.” Jawab Amirul Syakir, terlupa sejenak akan peristiwa tadi. “Nanti petang ni saya akan bawa dia keluar dari...Hei, itu bukan masalahnya sekarang ini!” Ujar lelaki itu, separuh menjerit. Dia baru tersedar yang dia sepatutnya bersikap serius dan bukannya mesra.
            Ain Fazira tersenyum. Gelagat Amirul Syakir membuatkan dia rasa seperti mahu tergelak.
“Saya pun terkejut juga.” Ujar Ain Fazira sambil memeluk tubuhnya. “Saya tak sangka yang awak ni Amirul Syakir, anak papa yang bermuka masam macam susu basi.”
            “Apa dia?!” Amirul Syakir mengetap bibirnya, geram. “Perangai awak pun masih berlagak macam dulu juga!” Amirul Syakir teringat peristiwa kali pertama dan terakhir dia berjumpa dengan Ain Fazira, sebelum wanita itu berangkat ke Paris tujuh tahun yang lalu.Wanita itu nampak sahaja kecil tetapi mulutnya boleh mengeluarkan kata-kata yang berbisa.
            “Awak langsung tak berubah, ‘abang Syakir’. Masih lurus macam dulu...”
            “Sudah, tak payah nak ungkit benda lepas!” Amirul Syakir mengetap bibirnya. Matanya berapi memandang Ain Fazira yang sudah dilabel sebagai musuhnya. “Saya bagi awak amaran, lebih baik awak balik semula ke Paris, kalau tak pun London. Keluarga saya tak akan pernah terima awak sebagai ahli keluarga, sampai bila-bila!”

***

Amirul Syakir mengetuk pintu kondominium tersebut beberapa kali. Tangan sebelahnya menjinjing beg plastik yang sarat dengan barangan dapur.
            “Shirin, Kir tahu yang Rin ada kat dalam. Tolonglah buka pintu ni.” Ujarnya tetapi tidak sesiapa yang menyahut.
            “Baiklah kalau macam tu Kir akan tunggu kat depan pintu sampai esok pagi. Biarlah apa yang orang nak kata.” Ugut lelaki itu.
            Kedengaran bunyi selak pintu diputar. Perlahan pintu apartmen yang berwarna hitam itu dibuka. Satu susuk tubuh seorang wanita muncul di balik pintu tersebut.
            “Rin!” Wajah Amirul Syakir berubah menjadi gembira melihat wanita yang bertudung bawal muncul di tepi pintu.
            “Rin sihat? Ni Kir ada bawakan...”
            “Sudahlah Syakir!” Tempelak Shirin. Wanita yang berwajah pucat itu menunjukkan mimik muka marah. “Berapa kali saya nak cakap, jangan ganggu saya lagi, jangan ambil tahu pasal saya lagi. Kenapa awak masih tak faham-faham?” Bentak wanita bertudung itu.
            “Rin...” Amirul Syakir terpana. Sepanjang pengenalan mereka, ini kali pertama dia melihat wanita yang lemah-lembut itu meninggikan suara. “Kir cuma risaukan Rin. Rin keluar dari hospital tanpa beritahu Kir. Sebab tu...”
            “Cukup! Kalau awak betul risaukan saya, awak tak akan buat macam ni. Awak masih tak faham ke yang saya ni dah kahwin. Dah kahwin! Tolonglah jangan ganggu saya lagi.”
            ‘Rin...’ Amirul Syakir terkejut melihat mata Shirin yang mula berkaca. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya.
“Maaf, saya tak sangka yang kelakuan saya dah menyusahkan awak. Saya cuma...” Amirul Syakir meletakkan beg plastik yang berisi barangan dapur itu di tepi pintu gril.
“Maaf...” Dia berlalu pergi dengan hati yang kecewa.
            Shirin terduduk di birai pintu. Air matanya mengalir deras.

Alamak! Mana dia? Mana dia?”
            “Mana pula aku letak kunci kereta aku ni?!” Rungut Amirul Syakir. Dia menyeluk poket kemeja dan seluarnya. Tiada.
            “Aduh, Syakir, Syakir, kenapa kau cuai sangat ni?” Rungutnya lagi. Lebih malang lagi sebab dia tertinggal dompet dan telefon bimbit di dalam kereta Honda Civic miliknya. Dia tidak dapat untuk menahan teksi atau menelefon pemandu ayahnya untuk mengambilnya pulang.
            Dalam keadaan Amirul Syakir tengah pening kepala, sebuah kereta BMW melalui kawasan tempat letak kereta tersebut lalu berhenti di tidak jauh daripada kereta Amirul Syakir.
            Ain Fazira keluar dari kereta sambil menjinjing beberapa buah beg membeli-belah di kiri dan kanan tangannya.
            ‘Macam manalah aku boleh ‘terjangkit’ dengan perangai Sophie ni. Bila stress je pergi shopping. Tadi tak adalah nampak banyak sangat yang aku beli. Ni kalau si Sophie tu nampak, mau dia merajuk sebab aku tak ajak dia sekali.’ Bisik hati kecilnya.

             “Saya bagi awak amaran, pergi balik semula ke Paris atau London. Keluarga saya tak akan pernah terima awak sebagai ahli keluarga, sampai bila-bila!”

            Kata-kata Amirul Syakir terngiang-ngiang di telinganya. Wajah Ain Fazira berubah kelat. Nampaknya sesi melepaskan tekanan dengan membeli-belah tidak berjaya.
            Ain Fazira mengeleng-geleng kepalanya. Dia tidak mahu mengingati lelaki bernama Amirul Syakir itu. Tengok muka lelaki itu pun dia tidak mahu.
            “Arghh!” Jeritan milik seorang lelaki yang kedengaran jelas mengejutkan Ain Fazira.
            Ain Fazira melabuhkan pandangannya kepada lelaki yang sedang terkinja-kinja memegang sebelah kakinya sambil mengaduh kesakitan. Dia dapat merasakan dia pernah melihat lelaki itu.
            “Amirul Syakir?”
            “Hah...Ain Fazira?!”

***

Pandangan Amirul Syakir hanya tertumpu ke arah jalan raya yang disinari oleh lampu yang berwarna kuning. Sekali-sekala dia menjeling ke arah Ain Fazira yang membisu sedari tadi.  
            “Apa yang awak buat dekat Villa Height?” Soal Amirul Syakir. Sedari tadi lagi dia ingin mengetahui sebab gadis itu berada di kawasan kondominium tempat Shirin tinggal.
            “Saya tinggal dekat situ.” Jawab Ain Fazira, pendek.
            “Awak tinggal dekat Villa Height?!”
            Ain Fazira mengerutkan keningnya, pelik dengan reaksi Amirul Syakir. “Kenapa? Saya tak boleh tinggal dekat situ ke?”
            Amirul Syakir terdiam. ‘Tak akanlah aku nak beritahu yang Shirin tinggal dekat sini. Nanti apa pula yang dia ni fikir.’
            “Mesti papa yang belikan kondo tu, kan?” Ujar Amirul Syakir, cuba untuk menukar topik perbualan. “Yalah, orang macam awak ni manalah mampu beli kondo dekat Villa Height tu. Saya dengar kereta ni pun...” Amirul Syakir merujuk kepada kereta yang dinaikinya. “...papa yang hadiahkan, betul tak? Mesti seronokkan dapat ayah angkat orang kaya....”
Kepala  Amirul Syakir hampir terhantuk dengan cermin depan kereta disebabkan Ain Fazira memberhentikan kereta secara tiba-tiba. Amirul Syakir yang terkejut sehingga jantung terasa seperti mahu terkeluar.
“Awak ni reti bawa kereta ke tak?!” Bentak Amirul Syakir.
 “Awak boleh tolong keluar kejap tak. Saya rasa macam kereta ni ada masalahlah.” Ujar Ain Fazira dengan wajah yang ‘suci’.
“Hish, bawa kereta je pandai. Yang lain semua tak tahu...”
Sebaik sahaja Amirul Syakir keluar dari kereta, Ain Fazira memecut keretanya dengan laju tanpa sebarang amaran. Amirul Syakir hanya sempat mengejar asap kereta wanita itu sebelum berhenti kepenatan.
AINNN FAZIIRA!!!


***  
p/s: Salam semua, kita bertemu lagi. Terus-terang hampir beberapa minggu juga Feena menulis dan mengedit kembali bab FYIDTS kali ini. Feena sebenarnya nak buat watak Ain Fazira ala-ala Ice Queen dan Amirul Syakir pula, Mr. Loser yang kelang-kabut dan cuai. Rasa-rasanya jadi tadi tak? Kali ini ada pengenalan watak Shirin dan sekali lagi masih ada misteri tentang Ana Syakila. Apa agaknya kaitan antara Ana Syakila dan Ain Fazira sebenarnya ya? Hehehe... kalau nak tahu bacalah sambungannya nanti ya.^^

Luv ur ollls!!http://matcuoi.com

5 comments: