Saturday 11 May 2013

FYI, Dia Tunang Saya Prolog


Prolog??!
Minda Ain Fazira terbejat seketika selepas babak-babak pertengkarannya dengan lelaki itu di tepi kolam renang. Namun, hatinya yang tengah panas merasionalkan perbuatannya. Mungkin dia bertindak keterlaluan tetapi lelaki itu telah bersikap kurang ajar dengannya.
            “Faz, kenapa mengelamun ni?”
Kehadiran Luqman di sisi Ain Fazira membuatkan gadis itu tersedar dari lamunannya. Dia tidak mahu menceritakan peristiwa yang memalukan tadi kepada lelaki yang amat dihormatinya itu.
            “Tak ada apa-apalah, bang. Faz bosanlah dengan majlis macam ni.” Ujarnya, menyelindungkan perasaan sedih yang terpendam di hatinya.
“Faz rasa Faz nak jumpa papa kejap, nak wish happy birthday lepas tu nak balik terus.”
            “Aik, cepatnya! Dato’ belum lagi potong kek. Tunggulah kejap. Faz pun tak berbual lagi dengan Dato’,” pujuk Luqman.
Dia berasa pelik dengan perubahan sikap wanita itu yang sebelumnya beria-ia nak berjumpa dengan Dato’ Farid Badrul.
            “Aaa, abang Luqman,”
Suara Amirul Syafiq menghentikan perbualan mereka berdua. Ain Fazira melihat pemuda yang berusia sembilan belas tahun yang memiliki raut wajah yang bersih dan tenang itu mendekatinya dan Luqman.
            “Papa suruh abang dengan Ci..Kak Faz datang ke meja kek.” Ujar Amirul Syafiq.
Dia seperti serba-salah dan tidak tahu bagaimana nak membahasakan dirinya dengan Ain Fazira yang baru diketahui identitinya.
            “Terima kasih, Syafiq.” Balas Ain Fazira sambil tersenyum.
Dia pun berasa agak canggung untuk bergaul dengan pemuda itu. Namun, hatinya sedikit lega kerana ada juga ahli keluarga Dato’ Farid Badrul yang sudi melayannya dengan baik.
‘Perangai Amirul Syafiq ni berlainan betul dengan mamat kurang ajar itu,’ bisik hati kecilnya.
            “Tapi kenapa tiba-tiba saja papa panggil Faz?” Ain Fazira melontarkan persoalan itu kepada Luqman tetapi lelaki berkaca mata tidak berbingkai itu sekadar menjungkitkan bahunya.
            Amirul Syafiq mengiringi mereka ke meja kek hari jadi lima tingkat yang terletak di hadapan dewan hotel tersebut. Amirul Syafiq kemudian meninggalkan mereka untuk menyertai ahli keluarganya yang berdiri di sisi Dato’ Farid Badrul yang berdiri di hadapan meja kek tersebut.
            Ain Fazira dapat menangkap jelingan yang maha tajam ditujukan ke arahnya tetapi dia berpura-pura tidak perasan. Dia menumpukan pandangannya kepada Dato’ Farid Badrul yang kelihatan gembira di sisi ahli keluarganya.
            Pengacara majlis memainkan peranannya menjelaskan aturcara seterusnya iaitu acara memotong kek oleh Dato’ Farid Badrul sendiri. Kemudian, pengacara lelaki yang berkarisma itu memberikan mikrofon kepada Dato’ Farid Badrul yang ingin mengumumkan sesuatu kepada para tetamu.
            Wajah Dato’ Farid Badrul yang tenang dan sentiasa tersenyum itu menjadi tumpuan para tetamu.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir ke majlis hari jadi saya. Saya rasa semua orang tahu bahawa ini kali pertama saya membuat majlis hari jadi secara besar-besaran. Selalunya saya selalu buat di rumah sahaja tapi ada rezeki lebih sikit jadi saya rasa moleklah kalau kita berkongsi sesama pekerja syarikat yang sudah bertungkus lumus memajukan syarikat KZ Cosmetic sehingga masih utuh berdiri ke hari ini.”
            Kata-kata lelaki yang berusia lewat lima puluhan itu menerima tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir. Sememangnya, Dato’ Farid Badrul merupakan seorang majikan yang mesra dan disayangi oleh para pekerjanya. Sikapnya yang menjaga kebajikan pekerja membuatkan dia dihormati baik kawan mahupun lawan di dalam dunia perniagaan.
            “Di sini, saya juga mempunyai satu pengumuman yang sangat penting. Faz,” panggil Dato’ Farid Badrul yang membuatkan Ain Fazira yang khusyuk mendengar tersedar lalu mrmbulatkan matanya.
            Ain Fazira dapat merasakan semua mata tertumpu kepadanya. Gadis itu memandang Luqman yang turut kelihatan keliru. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga keluar dari kelompok tetamu lalu berdiri di sisi Dato’ Farid Badrul. Kehadirannya membuatkan rata-rata ahli keluarga lelaki ternama itu menunjukkan riak tidak senang. Malah orang itu melihatnya seperti ingin menelannya.
            “Syakir,” panggil Dato’ Farid Badrul lagi.
            Di kala itu, Ain Fazira terasa seperti ingin berlari keluar sahaja daripada dewan hotel tersebut. Tidak sanggup nak berhadapan dengan Amirul Syakir yang kini sudah menukar bajunya. Pada masa yang sama, dia tidak faham mengapa Dato’ Farid Badrul memanggilnya dengan lelaki itu.
‘Tak kanlah...’ Hatinya sudah mula membayangkan sesuatu yang tidak enak.
            “Hari ini merupakan hari yang bahagia dalam hidup saya bukan sahaja kerana hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran saya tetapi juga kerana hari ini dua insan yang saya sayangi bakal mengikat janji untuk membina kehidupan bersama. Saya dengan gembiranya mengumumkan pertunangan anak saya Amirul Syakir dengan anak angkat saya, Ain Fazira.”
            Serentak, mata Ain Fazira dan Amirul Syakir membulat lalu berpandangan antara satu sama lain. ‘Katakanlah ini satu mimpi. Sesiapa tolong kejutkan aku dari mimpi ngeri ini!!”   


http://matcuoi.com Suka tak? Read & Comment, ok!

2 comments: